Kerjasama erat Brunei, Perancis

Kerjasama erat Brunei, Perancis

PARIS, Perancis, 16 Jun – Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit kini sedang berada di Paris, Perancis bagi menghadiri 2016 Eurosatory yang telah bermula sejak 13 Jun lalu di Pusat Pameran Paris-Nord Villepinte.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, petang kelmarin, beliau juga telah mengadakan perjumpaan dua hala dengan Setiausaha Negara di Kementerian Pertahanan bagi Hal Ehwal Veteran dan Peringatan Republik Perancis, Jean-Marc Todeschini.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua belah pihak telah meluahkan perasaan berpuas hati dengan perkembangan kejasama pertahanan dan tentera sedia ada di antara kedua-dua belah negara, diketengahkan dengan mesyuarat dua hala regular yang diadakan di bawah Jawatankuasa Kerja Pertahanan Bersama dan pelantikan Atase Pertahanan ke negara masing-masing.

Selain itu, kedua-duanya juga mengiktiraf bahawa platform-platform pelbagai hala, seperti pameran pertahanan 2016 Eurosatory, memainkan peranan penting dalam mempromosikan pelibatan kerjasama, interaksi dan pertukaran pandangan di antara pegawai-pegawai pertahanan dan tentera, serta perwakilan-perwakilan industri yang berkaitan.

Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz semasa perjumpaan dua hala bersama Jean-Marc Todeschini.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz semasa perjumpaan dua hala bersama Jean-Marc Todeschini.

Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz dan Jean-Marc Todeschini juga telah membincangkan isu-isu keselamatan serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Semasa lawatan itu, timbalan menteri pertahanan juga telah berpeluang untuk melawat pameran yang mengetengahkan kemajuan industri pertahanan, teknologi, trend, produk dan perkhidmatan-perkhidmatan terkini dalam pelbagai bidang pertahanan dan keselamatan.

Manakala itu, hari ini, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz dan delegasi berpeluang melawat Pusat Keselamatan Siber Perancis di Paris.

Mengiringi timbalan menteri pertahanan dalam lawatan berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Teknologi), Kapten (B) Haji Mohd Amirol Shahnoel bin Haji Mohd Noeh dan Pembantu Ketua Unit Teknologi Maklumat Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Mejar Awang Muhd Ashady bin Haji Mohd Harris.

ARTIKEL YANG SAMA