Kerjasama erat tingkat prestasi sekolah

Kerjasama erat tingkat prestasi sekolah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 24 Jun – Sekolah Menengah Perdana Wazir (SMPW) telah mencatatkan peningkatan dalam beberapa mata pelajaran seperti Matematik, Additional Maths, Biologi, Bahasa Melayu, Principal of Account (POA), Pembelajaran Komersial dan lainnya dalam peperiksaan BGCE Peringkat O tahun 2014.

Mata pelajaran Matematik mencatatkan peningkatan 22.7 peratus, 12.5 peratus bagi Additional Maths, 19 peratus bagi Biologi, manakala Bahasa Melayu meningkat 27.1 peratus, POA 25.5 peratus begitu juga pembelajaran komersial sebanyak 27 peratus.

Ini menunjukkan bahawa pihak pentadbiran, para guru, pelajar dan ibu bapa telah menjalinkan kerjasama erat bagi sama-sama meningkatkan prestasi sekolah.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Kluster 6, Dayang Nur Asurah binti Haji Meludin dalam ucapannya selaku tetamu kehormat pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil Untuk Penuntut Cemerlang Dalam BGCE Peringkat O Tahun 2014 SMPW, di sini, hari ini.

Beliau dalam ucapannya juga menyatakan harapan supaya usaha seperti itu dapat diteruskan bagi pencapaian prestasi akademik yang lebih cemerlang lagi, selain berharap pelajar yang mendapat keputusan cemerlang untuk menjadikan kejayaan itu sebagai pendorong dan juga rakan-rakan yang lain untuk terus berusaha di peringkat lebih tinggi nanti.

Antara pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan BGCE Peringkat O Tahun 2014 SMPW.
Antara pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan BGCE Peringkat O Tahun 2014 SMPW.
Persembahan nasyid daripada pelajar Sekolah Menengah Perdana Wazir sebagai acara selingan Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil Penuntut Cemerlang BGCE Peringkat O tahun 2014.
Persembahan nasyid daripada pelajar Sekolah Menengah Perdana Wazir sebagai acara selingan Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil Penuntut Cemerlang BGCE Peringkat O tahun 2014.

“Kecemerlangan yang dicapai adalah hasil daripada usaha gigih dan berterusan, ia juga tidak mengenal erti jemu dan letih untuk mendapatkan sebuah kejayaan dan kecemerlangan, oleh itu wajarlah sekiranya kita meraikan kejayaan mereka dengan penuh rasa syukur dan takzim berkat kerja keras para guru, dedikasi para pelajar dan sokongan padu para ibu bapa dengan menyediakan sedikit penghargaan kepada pelajar berkenaan,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa Abad ke-21 ini telah menjanjikan pelbagai kemungkinan, kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) melahirkan fenomena globalisasi “Dunia Tanpa Sempadan”.

Sehubungan itu, tekan beliau, para pelajar perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan, kemahiran tinggi yang inovatif, memiliki jati diri dan beretika secara berterusan dalam usaha mempertingkatkan keupayaan diri untuk menangani perubahan dan cabaran dengan cekap dan berkesan demi memenuhi Wawasan Negara 2035.

Sementara itu, Pengetua SMPW, Pengiran Hajah Zeiniun binti Pengiran Mudin dalam ucapan alu-aluannya berkata pihak sekolah sentiasa berusaha menyusun dan menambah strategi bagi meningkatkan prestasi pencapaian akademik semua pelajar di sekolah itu.

Ia termasuklah mengadakan pelbagai program intervensi bagi pelajar Tahun 11 antaranya Program Get Your Credit Tutorial, Bengkel Teknik Menjawab Soalan Peperiksaan serta program kaunseling yang dinamakan Program Promise yang turut melibatkan ibu bapa dan penjaga pelajar dalam membantu anak-anak mereka mencapai kecemerlangan di dalam peperiksaan Peringkat ‘O’ nanti.

Di majlis itu, seramai 19 orang pelajar telah menerima hadiah cemerlang dan enam orang lagi merupakan pelajar yang memperoleh Gred A dalam mata pelajaran tertentu.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh tetamu kehormat dan pengetua sekolah terssbut.

ARTIKEL YANG SAMA