Kerjasama integrasi ekonomi ASEAN

Kerjasama integrasi ekonomi ASEAN

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Ketua-ketua delegasi dari negara-negara anggota ASEAN berkumpul untuk membincangkan usaha bagi meningkatkan kerjasama bagi mengintegrasikan ekonomi ASEAN menerusi Mesyuarat Kumpulan Kerja Produk Automotif (APWG) Jawatankuasa Perundingan ASEAN bagi Standard dan Kualiti (ACCSQ) ke-23, yang berlangsung di Hotel Centrepoint, Gadong, hari ini.

Hadir merasmikan mesyuarat dua hari yang dihoskan Negara Brunei Darussalam itu ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak.

Semasa mesyuarat itu, para ketua delegasi APWG yang bersidang akan membincangkan penetapan bagi pelaksanaan Perjanjian Pengiktirafan Bersama ASEAN (MRA) bagi Kelulusan Jenis Produk-produk Automotif yang diharap dapat diselesaikan pada suku keempat 2016.

Matlamat utama di bawah MRA itu adalah untuk memastikan bahawa produk automatif yang terkawal yang telah diuji atau diperiksa oleh sebuah badan pemeriksaan dan makmal ujian yang diiktiraf oleh negara anggota pengeksport, produk itu dapat memasuki dan dipasarkan di negara anggota pengimport tanpa perlu melalui ujian atau pemeriksaan tambahan.

Menurut para ketua delegasi yang bersidang, pelaksanaan matlamat utama MRA itu akan mengelakkan pembaziran dari segi penggandaan ujian atau pemeriksaan yang berulang-ulang.

Antara delegasi-delegasi dari negara anggota ASEAN yang menyertai mesyuarat berkenaan.
Antara delegasi-delegasi dari negara anggota ASEAN yang menyertai mesyuarat berkenaan.
Pengiran Haji Mohd Zain bergambar ramai bersama para delegasi yang menyertai mesyuarat selama dua hari itu.
Pengiran Haji Mohd Zain bergambar ramai bersama para delegasi yang menyertai mesyuarat selama dua hari itu.

Standard bagi mana-mana produk itu diuji adalah berasaskan kepada keperluan teknikal yang diselaraskan daripada standard pengawalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB-UN) yang telah ditetapkan oleh negara anggota pengimport sebagai standard kebangsaan atau jika standard itu tidak diselaraskan, ia adalah berasaskan kepada standard negara pengimport.

ASEAN telah bersetuju untuk mengutamakan 19 buah peraturan PBB bagi fasa awal pelaksanaan MRA itu di mana pelaksanaannya akan menjadikan eksport produk-produk komponen automotif lebih mudah dan murah.

Perjanjian MRA itu juga merupakan salah satu bidang keutamaan tinggi ASEAN di bawah agenda Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) selepas 2015 yang disasarkan untuk diselesaikan pada 2016.

Kejayaan pelaksanaan MRA berkenaan akan menyumbang kepada usaha merealisasikan AEC iaitu memberikan pergerakan produk, perkhidmatan, pelaburan, tenaga kerja berkemahiran dan aliran kapital yang lebih bebas.

Terdahulu sebelum Mesyuarat APWG ke-23 itu, Mesyuarat Pasukan Petugas MRA bagi Kelulusan Jenis Produk-produk Automotif ke-16 telah diadakan yang dihadiri oleh pegawai-pegawai dari negara-negara anggota ASEAN yang mewakili agensi-agensi pengangkutan darat, industri, standard dan persijilan serta juga wakil dari industri-industri automotif dan Persekutuan Automotif ASEAN (AAF).

Mesyuarat itu juga turut dihadiri wakil Sekretariat ASEAN dan Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat yang mengongsi mengenai dengan Green Chemistry dalam produk dan alat gantian kenderaan. Kumpulan APWG yang ditubuhkan pada 2005 itu, merupakan salah satu kumpulan kerja di bawah ACCSQ iaitu sebuah badan sektor di bawah bidang kuasa Menteri Ekonomi ASEAN (AEM).

AEM telah mengenal pasti bahawa sektor automotif merupakan satu daripada 12 sektor integrasi utama (PIS) di bawah agenda integrasi ekonomi ASEAN.

ARTIKEL YANG SAMA