Kerjasama ketenteraan Brunei-China dipertingkat

Kerjasama ketenteraan Brunei-China dipertingkat

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Hubungan ketenteraan antara Brunei dan China sentiasa diperkukuhkan dengan meningkatkan pertukaran lawatan peringkat tinggi serta pertukaran profesional dan meningkatkan kerjasama latihan.

Kolonel Kanan, Cheng Shaoying ketika berucap di Resepsi Sambutan Ulang Tahun ke-88 tahun Penubuhan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA)yang berlangsung di Hotel Radisson, di sini, malam ini berkata, tahun lalu buat pertama kalinya, PLA menghantar delegasi berprofil tinggi untuk menghadiri CHOD 2014 yang diadakan di Brunei, di mana mereka bertukar-tukar pandangan mengenai keadaan keselamatan serantau dan isu-isu kepentingan bersama dengan pemimpin pertahanan Brunei dan serta peserta yang lain sambil menyumbang kepada memelihara keamanan dan kestabilan di rantau ini.

“Tahun ini menyaksikan penyertaan pertama PLA dalam BISAM ke-11, yang terus diperkukuhkan dengan pertukaran tentera praktikal dua hala. Sebagai hasil, persefahaman dan amanah diperkukuhkan secara kondusif untuk menyatukan pembangunan hubungan ketenteraan dua hala dalam jangka masa panjang,” ujarnya lagi.

Beliau sangat berharap momentum semasa akan dikekalkan dan dipertingkatkan dan kerjasama pertahanan dua hala yang rapat akan menyuntik nafas baru dalam meningkatkan persahabatan antara kedua-dua negara.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pertahanan Brunei, Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat dan Datin bersama Komander ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih Abdullah.

Upacara memotong kek sempena sambutan ulang tahun ke 88 tahun PLA.
Upacara memotong kek sempena sambutan ulang tahun ke 88 tahun PLA.

Menurut Kolonel Kanan Cheng Shaoying, China mengamalkan dasar pertahanan yang bercorak defensif.

“Dalam tahun-tahun kebelakangan ini China terus berusaha membina hubungan ketenteraan serta diplomasi pertahanan dengan negara-negara lain berteraskan kepada kesamarataan, manfaat bersama serta kerjasama menang-menang selain mengambil tanggungjawab dalam menggalakkan keamanan dan keselamatan dunia menerusi penyertaan dalam tugas-tugas bantuan kemanusiaan antarabangsa, operasi pengaman PBB dan misi eskot tentera laut di Teluk Aden.

“Di Asia Pasifik, kerjasama ketenteraan antara China dan negara-negara lain di rantau ini terus berkembang dan sehingga kini ia telah mewujudkan mekanisme dialog dan perundingan ketenteraan dengan 13 negara jiran serta mengadakan lebih 50 latihan bersama dengan negara-negara di Asia Pasifik.

“China juga terlibat secara aktif dalam kerjasama ketenteraan pelbagai hala dengan rantau ASEAN,” jelas beliau.

Resepsi malam ini dimeriahkan lagi dengan upacara memotong kek sempena ulang tahun ke-88 PLA diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat dan Datin yang disampaikan oleh Duta Besar Cina di Brunei, Puan Yang Terutama, Yang Jian.

Tetamu kehormat dan tetamu yang hadir dipersembahkan dengan tayangan video perkembangan sejarah PLA dalam penglibatan semasa perang sehingga sepanjang 88 tahun penubuhannya.

ARTIKEL YANG SAMA