Kerjasama operasi rondaan, bersih kubur

Kerjasama operasi rondaan, bersih kubur

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Demi membanteras gejala-gejala tidak sihat dan kegiatan jenayah, Operasi Pencegahan Jenayah terus dilakukan dengan kerjasama anggota polis dan ahli pengawasan kejiranan.

Menurut kenyataan yang diterima, dua operasi telah dilaksanakan di dua buah tempat berasingan, baru-baru ini, di Mukim Pengkalan Batu dan Mukim Mentiri.

Sebelum rondaan bersepadu Balai Polis Limau Manis bersama ahli Pengawasan Kejiranan Kampung (Kg) Batong, taklimat operasi telah diadakan di Bilik Gerakan, Balai Polis Limau Manis.

Rondaan diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Limau Manis, Inspektor Abdul Sahrimin bin Abdul Rahman bersama 11 anggota polis.

Hadir semasa rondaan ialah Ketua Kg. Batong, Haji Saban bin Lamat.

Operasi yang bermula pada jam 10:30 malam itu, tiada mendapati sebarang aktiviti jenayah dilakukan.

Sementara itu, taklimat bagi rondaan pencegahan jenayah Balai Polis Muara bersama Pengawasan Kejiranan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kg. Panchor Mengkubau, Mukim Mentiri telah diadakan di sebuah rumah di Jalan Bukit Sinadur, RPN Kg. Panchor.

Operasi diketuai oleh Pemangku Pegawai Penguasa Balai Polis Muara ASP Norkhatijah binti Haji Zainal bersama 21 anggota polis dan 12 ahli pengawasan kejiranan kampung tersebut.

Rondaan kawasan kampung turut dibahagikan kepada empat kumpulan meliputi kawasan Jalan Bukit Sinadur, Jalan Tanjong Selasih, Jalan Bukit Pandayan, Jalan Bukit Bintagor dan Jalan Sungai Carana.

Hasil rondaan selama tiga jam lebih berakhir pada jam 2:10 pagi itu tidak menemui sebarang kejadian jenayah dan yang menyalahi undang-undang.

Manakala itu, ahli pengawasan kejiranan bukan sahaja terhad dalam melaksanakan operasi cegah jenayah, mereka turut mengendalikan pelbagai aktiviti berkebajikan antaranya seperti ahli Pengawasan Kejiranan Kg. Masin, kelmarin, telah terlibat dalam menganjurkan ujian kemahiran memandu kereta tahan lasak anjuran bersama Majlis Perundingan Kg. Masin, Kampung Bebatik, dan Persatuan Kereta Tahan.

Hadir semasa acara tersebut ialah Ketua Kg. Masin, Haji Moksin bin Haji Khamis dan 15 ahli Pengawasan Kejiranan Kg. Masin.

Pegawai Penguasa Balai Polis Limau Manis, Inspektor Abdul Sahrimin bin Abdul Rahman hadir selaku tetamu kehormat bersama anggota polis Balai Polis Limau Manis.

Selain itu, anggota Balai Polis Sengkurong bersama ahli Pengawasan Kejiranan, Majlis Perundingan Kampung dan Takmir Masjid Kg. Jerudong turut mengadakan kempen bersih kubur bersepadu di Sungai Limau, kawasan Jerudong.

Hadir menyertai aktiviti berkebajikan itu ialah Ketua Kg. Jerudong, Haji Mohammad Rais bin Haji Ishak.

ARTIKEL YANG SAMA