Kerjasama orang ramai dalam draf standard PBD

Kerjasama orang ramai dalam draf standard PBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Pusat Standard Kebangsaan yang merupakan unit di bawah Jabatan Tenaga dan Perindustri di Jabatan Perdana Menteri, yang berperanan untuk memudahkan dan mengawal bidang-bidang Standard dan Pematuhan, kini mengalu-alukan dan menggalakkan orang ramai untuk memberi komen mengenai draf standard Piawai Brunei Darussalam (PBD) terkini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, tiga standard telah dirangka iaitu Amalan Kebersihan bagi Makanan Pramasak dan Telah Masak dalam Penyajian Besar-Besaran (Amalan baik Katering); Spesifikasi untuk Tetulang Keluli bagi Pengukuhan Konkrit; dan Spesifikasi Standard Brunei bagi Pertanian Organik.

Bagi membolehkan pihak-pihak yang berminat dan/atau sektor-sektor (seperti makanan, elektrik, pembinaan, kesihatan dan automotif) memberi komen mengenai draf tersebut atau PBD sedia ada, tempoh komen awam adalah selama dua bulan (60 hari) dengan tarikh akhir menghantar komen adalah pada 16 Ogos 2016.

Semua pandangan dan komen akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa berkaitan dan pendrafan lanjut akan dibuat, jika perlu.

Draf-draf berkenaan boleh didapati menerusi laman sesawang www.ei.gov.bn di mana komen-komen juga boleh dihantar melalui laman sesawang tersebut.

Menurut kenyataan itu, PBD merupakan dokumen standard-standard kebangsaan yang bermatlamat untuk menyediakan panduan kebangsaan dalam bidang-bidang seperti reka bentuk, penggunaan atau prestasi bahan-bahan, produk, proses, perkhidmatan dan sistem-sistem.

Sebagai sebahagian daripada pembangunan PBD, salah satu perkara penting adalah memastikan ketelusan dan penyertaan daripada empat pihak berkepentingan utama iaitu kerajaan, swasta, awam dan kepentingan pelanggan.

PBD adalah berasaskan sistem terbuka, mengikut keperluan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Menurut kenyataan itu lagi, sebelum mana-mana standard diperkenalkan dan dikaji semula, dokumen-dokumen tersebut melalui proses konsultasi.

Peringkat penting dalam pembangunan PBD ini dinamakan tempoh Komen Awam.

Tempoh ini memastikan bahawa industri, syarikat-syarikat dan pihak berkepentingan lain mengetahui mengenai sebarang perubahan akan datang kepada PBD dan memberikan mereka dan orang awam secara umumnya, peluang untuk memberi komen, mempengaruhi butiran-butiran dan elemen dokumen-dokumen standard berkenaan sebelum ia diterbitkan oleh Jawatankuasa Standard Kebangsaan.

Ini adalah bagi memastikan semua pandangan dipertimbangkan dan juga memberi peluang kepada orang awam dari pelbagai sektor dan industri berlainan untuk mempengaruhi kandungan standard-standard tersebut, serta memberi peluang kepada orang awam untuk mengenali kandungan standard-standard tersebut sebelum diterbitkan.

PBD akan merangkumi standard-standard daripada pelbagai jawatankuasa teknikal termasuk makanan, elektrik, pembinaan, kesihatan dan automotif.

Dalam pada itu, kenyataan berkenaan turut memaklumkan Perpustakaan Rujukan Standard kini beroperasi di pejabat utama Pusat Standard Kebangsaan, Jabatan Tenaga dan Perindustri, Jabatan Perdana Menteri, di B19, Simpang 32-15, Kampung Anggerek Desa, Berakas dan dibukakan bagi kunjungan orang ramai pada waktu pejabat.

Perpustakaan ini menempatkan buku-buku standard dari Brunei Darussalam (Piawai Brunei Darussalam), United Kingdom (British Standards), Malaysia (Malaysia Standards), Singapura (Singapore Standards), Filipina (Philipines Standards), ISO (International Standards) dan juga pelbagai buku pengurusan kualiti serta keselamatan makanan.

Di samping itu, Pusat Standard Kebangsaan turut memaklumkan bahawa mereka kini menawarkan jualan buku-buku Standard, dengan objektif untuk mempromosikan dan menyebarkan maklumat mengenai standard-standard yang sedang dihasilkan dan diambil oleh jawatankuasa-jawatankuasa teknikal, kepada para pengguna, sektor kerajaan dan swasta.

ARTIKEL YANG SAMA