Kerjasama PBB kumpul dana bantu mangsa kemarau

Kerjasama PBB kumpul dana bantu mangsa kemarau

MAPUTO, 20 April (Bernama) – Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Mozambique mengumumkan bakal bekerjasama dengan negara itu bagi mengumpul dana sebanyak AS$200 juta untuk membantu mangsa terjejas akibat kemarau, lapor agensi berita China Xinhua.

Kerjasama itu adalah sebahagian daripada usaha menangani ‘amaran tahap merah’ selama 90 hari yang dikeluarkan kerajaan negara berkenaan minggu lepas. Amaran itu susulan kemarau dasyat yang melanda wilayah selatan dan tengah negara Afrika, menyebabkan 1.5 juta penduduk berada dalam keadaan kekurangan makanan yang teruk.

Menurut kenyataan dikeluarkan misi PBB, dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk tujuan seperti mendapatkan bekalan air bagi kebersihan dan sanitasi, nutrisi serta bantuan makanan. “Antara yang paling teruk terjejas ialah kanak-kanak berumur di bawah lima tahun dan wanita hamil serta yang masih menyusukan bayi di wilayah Sofala dan Tete,” kata Koordinator Residen PBB di Mozambique Marcia de Castro.

Dana juga akan digunakan untuk perlindungan kanak-kanak terutamanya mereka yang dieksploitasi dan menjadi mangsa penderaan seks akibat bencana kemarau. El Nino menjadikan Mozambique mengalami kemarau dasyat sekaligus menyebabkan harga makanan melambung tinggi terutamanya sayur-sayuran.

ARTIKEL YANG SAMA