Kerjasama pertahanan dimeterai

Kerjasama pertahanan dimeterai

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Menteri Pertahanan Republik Singapura, Dr. Ng Eng Hen berserta rombongan yang terdiri daripada Ketua Turus Pertahanan, Angkatan Bersenjata Republik Singapura (SAF), Dato Paduka Seri Perry Lim, Setiausaha Tetap (Pembangunan Pertahanan), Ng Chee Khern dan beberapa orang pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan Republik Singapura dan SAF kini berada di Negara Brunei Darussalam bagi lawatan kerja selama dua hari sehingga esok.

Semasa lawatan kerja itu, rombongan Dr. Ng Eng Hen akan berkesempatan untuk menghadiri Majlis Mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) di Istana Nurul Iman serta mengadap kehadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Jeneral ABDB di Qashr Al-Meezan.

Menteri Pertahanan Singapura dan rombongan berada di Brunei bagi memperingati ulang tahun hubungan pertahanan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura ke-40 yang bermula pada 1976.

Sebahagian daripada acara peringatan berkenaan, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Teknologi Pertahanan di antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura telah diadakan di Bolkiah Garison, Kementerian Pertahanan, hari ini.

Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar bertukar dokumen dengan Setiausaha Tetap (Pembangunan Pertahanan Singapura), Ng Chee Khern sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Negara Brunei Darussalam, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit dan Menteri Pertahanan Republik Singapura, Dr. Ng Eng Hen pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Kerjasama Teknologi Pertahanan di antara kedua-dua negara di Bolkiah Garison, Kementerian Pertahanan, kelmarin. – Gambar Sim Y. H.

Datin Paduka Hajah Suriyah (kanan) dan Ng Chee Khern (kiri) menandatangani MoU Kerjasama Teknologi Pertahanan.
Datin Paduka Hajah Suriyah (kanan) dan Ng Chee Khern (kiri) menandatangani MoU Kerjasama Teknologi Pertahanan.

Hadir untuk menyaksikan penandatanganan MoU berkenaan ialah Dr. Ng Eng Hen dan Timbalan Menteri Pertahanan Negara Brunei Darussalam, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit.

Pada majlis berkenaan, menandatangani bagi pihak Negara Brunei Darussalam ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar dan bagi pihak Republik Singapura ialah Setiausaha Tetap (Pembangunan Pertahanan), Ng Chee Khern.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, berdasarkan prinsip-prinsip kesaksamaan, faedah bersama dan saling menghormati kedaulatan kedua-dua negara, MoU itu bertujuan untuk menggalakkan kerjasama dalam bidang utama teknologi pertahanan termasuk penyelidikan dan pembangunan, perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik dalam pemerolehan pertahanan serta kerjasama dalam pengurusan teknologi.

Dr. Ng Eng Hen memeriksa barisan Kehormat.
Dr. Ng Eng Hen memeriksa barisan Kehormat.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menerima kunjungan hormat Dr. Ng Eng Hen.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menerima kunjungan hormat Dr. Ng Eng Hen.

Terdahulu sebelum majlis penandatanganan berkenaan, kehadiran Menteri Pertahanan Republik Singapura ke Kementerian Pertahanan telah disambut dengan kawalan kehormat oleh anggota ABDB.

Seterusnya, Dr. Ng Eng Hen mengadakan kunjung hormat kepada Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz di mana mereka telah membincangkan mengenai isu-isu berkepentingan bersama.

Selepas majlis penandatanganan perjanjian, Dr. Ng Eng Hen dan Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz berkesempatan melawat galeri mini yang menunjukkan imej-imej yang menggambarkan interaksi pertahanan di antara kedua-dua buah negara selama empat dekad.

Satu lagi kegiatan peringatan yang dirancang ialah lawatan Menteri Pertahanan Singapura untuk menyaksikan Latihan Pelican di KDB Darul Ehsan pada 30 Ogos.

Latihan yang sedang dijalankan itu merupakan siri latihan ke-35 dan telah berlangsung sejak 24 Ogos lalu.

ARTIKEL YANG SAMA