Kerjasama pintar majukan pelajar

Kerjasama pintar majukan pelajar

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Jabatan Pembangunan Kurikulum (JPK), Kementerian Pendidikan dan Brunei Press Sdn Bhd, hari ini, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menggalakkan pendidikan di negara ini menerusi penerbitan ruangan khas dalam Media Permata dan Borneo Bulletin.

Majlis penandatanganan tersebut berlangsung di Dewan Utama, Bangunan Baru Kementerian Pendidikan dengan disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pendidikan dan Brunei Press.

Menandatangani MoU bagi pihak JPK ialah Pengarah JPK, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi dengan disaksikan oleh Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan di JPK, Hajah Badriah binti Haji Saidin, manakala itu, Brunei Press diwakili Pengurus Besarnya, Reggie See dan disaksikan oleh Pengurus Kanan Kewangan dan Operasi, Suzie Houng.

Menerusi MoU berkenaan, kedua-dua akhbar harian di bawah Brunei Press berkenaan akan menyiarkan satu ruangan khas untuk bimbingan para pelajar yang akan menghadapi Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), diterbitkan seminggu sekali bermula 14 Julai (Borneo Bulletin) dan 15 Julai 2016 (Media Permata).

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyaksi majlis penandatanganan memorandum persefahaman antara Jabatan Pembangunan Kurikulum dengan Brunei Press kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyaksi majlis penandatanganan memorandum persefahaman antara Jabatan Pembangunan Kurikulum dengan Brunei Press kelmarin.
Haji Abdul Rahman (kiri) bertukar dokumen MoU dengan Reggie See sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
Haji Abdul Rahman (kiri) bertukar dokumen MoU dengan Reggie See sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.

Ruangan khas itu akan dikenali sebagai ‘Education’ disiarkan setiap hari Khamis dalam akhbar Borneo Bulletin dan ruangan ‘Minda Bestari’ disiarkan setiap hari Jumaat dalam Media Permata.

Semasa berucap pada majlis tersebut, Haji Abdul Rahman berkata dengan kerjasama berkenaan diharapkan akan dapat membantu para pelajar untuk memperkayakan pengetahuan mereka, menajamkan pemahaman mereka dan meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam menjawab soalan dan percubaan menjawab soalan-soalan peperiksaan dan latihan.

Kerjasama ini, katanya, merupakan satu lagi usaha untuk sektor awam dan swasta, termasuk masyarakat dan ibu bapa ke arah memenuhi matlamat untuk mencapai gred yang lebih baik untuk para pelajar dalam peperiksaan awam, terutamanya dalam PSR di mana tahun ini Kementerian Pendidikan bertekad untuk mencapai sasaran negara 79 peratus pelajar mencapai gred A – C dan seterusnya 90 peratus pelajar mencapai gred A – C pada tahun 2017.

Dengan menjalani latihan itu, pelajar boleh dilengkapi dengan high order thinking (HOT) serta menjadi lebih bersedia untuk menghadapi soalan peperiksaan, tambah beliau.

Menyentuh mengenai idea untuk menerbitkan lajur berkaitan pendidikan dalam kedua-dua akhbar ini, beliau berkata ia bermula semasa perbincangan dengan Brunei Press mengenai bagaimana cara-cara sektor awam dan swasta boleh bekerjasama untuk menggalakkan pendidikan di negara ini.

“Oleh itu, idea penerbitan ‘Education’ dalam Borneo Bulletin dan ‘Minda Bestari’ di Media Permata telah dimulakan.”

Menurut Haji Abdul Rahman, ini akan menjadi medan untuk menyebarkan maklumat mengenai pendidikan kepada pelajar-pelajar dan juga untuk ibu bapa dan orang awam.

Beliau menambah bahawa bahan-bahan yang akan diterbitkan berkaitan dengan perkara-perkara yang tertakluk di bawah bidang kuasa JPK dan dalam bentuk soalan dan jawapan, bahan-bahan panduan seperti bagaimana untuk menjawab beberapa jenis esei, artikel mengenai isu-isu tertentu, atau bahan-bahan promosi mengenai aktiviti Kementerian Pendidikan meliputi kedua-dua peringkat rendah dan menengah.

Ruangan ini akan dipaparkan sekali seminggu dalam Borneo Bulletin dan Media Permata sepanjang tempoh Julai 2016 sehingga Julai 2018 dengan Brunei Press Sdn Bhd memberikan satu halaman penuh dalam Borneo Bulletin dan dua halaman penuh dalam Media Permata.

Mengulas mengenai penerbitannya setiap Khamis (Borneo Bulletin) dan Jumaat (Media Permata), beliau berkata ia dipilih memandangkan hari kelepasan awam untuk memberi ruang kepada ibu bapa atau ahli keluarga untuk memantau dan membimbing anak-anak mereka dalam menjalankan aktiviti-aktiviti yang dipaparkan dalam ruangan itu.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, hari-hari penerbitan itu akan dikaji semula dari semasa ke semasa berdasarkan maklum balas agar ruangan tersebut dapat menepati tujuannya dengan baik serta maklum balas dan cadangan untuk meningkatkan lagi dalam memastikan kualiti isi kandungan ruangan itu adalah dialu-alukan.

Sementara itu, Reggie See dalam ucapannya pula berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan objektif Brunei Press untuk memberigakan dan mendidik pembaca Borneo Bulletin dan Media Permata.

“Sebagai contoh, kami dengan tetap menerbitkan ‘Share Your Story’ and ‘Sunday High School’ untuk mempromosikan literasi dan penulisan,” katanya sambil menambah bahawa, ia juga sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat sosial Brunei Press untuk menyumbang kepada negara ke arah Wawasan Brunei 2035 dari segi pendidikan.

Menjelaskan mengenai kerjasama itu, beliau berkata, penerbitan di kedua-dua akhbar berkenaan akan mengandungi bahan-bahan pendidikan yang diluluskan dan disediakan oleh JPK.

“Menerusi akhbar-akhbar kami, kami ingin memberikan satu lagi cara untuk menggalakkan pembaca kami yang mempunyai anak-anak yang bersekolah untuk memanfaatkan bahan-bahan terbitan mengenai MIB, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik untuk melatih anak-anak mereka.”

Bahan-bahan yang diterbitkan, tambah beliau lagi, juga boleh digunakan oleh guru-guru untuk membantu murid-murid mereka meningkatkan keputusan PSR.

ARTIKEL YANG SAMA