Kerjasama projek penanaman jagung

Kerjasama projek penanaman jagung

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, kelmarin, telah melaksanakan penuaian hasil projek penanaman jagung kali pertama di bawah program kerjasama antara jabatan berkenaan dengan Mitsubishi Corporation, di Stesen Kemajuan Pertanian Lumapas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penanaman jagung dari varieti “Honey Moon” itu telah dilakukan pada 23 Mac 2015 di kawasan berkeluasan 400 meter persegi dengan 22 batas dan menghasilkan lebih daripada 1,200 biji jagung.

Projek tersebut juga meliputi pembelajaran penanaman jagung secara praktikal yang akan diadakan pada 4 Jun 2015 di Stesen Kemajuan Pertanian Lumapas.

Ia akan disertai oleh para peserta yang mengikuti kursus di Sekolah Perladangan Tanaman Sayur iaitu lebih 20 orang, yang terdiri daripada pengusaha ladang, pelajar sekolah dan juga kakitangan jabatan, yang telah memulakan pembelajaran secara teori pada 18 hingga 21 Mei 2015.

Selain projek penanaman jagung, program kerjasama terbabit juga meliputi projek penanaman beberapa varieti kacang tanah yang telah pun dilaksanakan penanamannya pada April lalu di kawasan seluas 260 meter persegi dan penuaian hasil dijangka akan dilakukan pada awal bulan Ogos nanti.

Jagung varieti ‘Honey Moon’.
Jagung varieti ‘Honey Moon’.
Projek penanaman jagung tersebut telah dilakukan pada 23 Mac 2015 di kawasan berkeluasan 400 meter persegi dengan 22 batas dan menghasilkan lebih daripada 1,200 biji jagung.
Projek penanaman jagung tersebut telah dilakukan pada 23 Mac 2015 di kawasan berkeluasan 400 meter persegi dengan 22 batas dan menghasilkan lebih daripada 1,200 biji jagung.

Program kerjasama ini bertujuan untuk melihat kesesuaian penanaman beberapa varieti jagung dan kacang tanah sebelum diperkenalkan kepada pengusaha-pengusaha ladang di Negara Brunei Darussalam dengan menyalurkan maklumat mengenainya melalui Sekolah Perladangan Tanaman.

Selain itu, ia juga bertujuan menggalakkan kaedah tanaman bergilir (“crop rotation”) bagi meningkatkan kesuburan tanah serta mempromosikan pelbagai tanaman kepada pengusaha sebagai alternatif pendapatan bagi mendukung usaha jabatan untuk mempelbagaikan lagi produktiviti pertanian.

Dengan adanya program seumpama ini, diharap agar dapat memberi keyakinan kepada pengusaha-pengusaha sedia ada dan pengusaha baru untuk menjalankan aktiviti pertanian dengan lebih gigih dan produktif. Usaha ini adalah bagi menuju ke arah peningkatan produktiviti pertanian serta kepelbagaian tanaman di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA