Kerjasama Thailand, buru jenayah

Kerjasama Thailand, buru jenayah

BANGKOK, 4 Ogos – Negara akan meminta kerjasama Thailand memberkas penjenayah-penjenayah tempatan yang menggunakan negara jiran itu sebagai tempat untuk berlindung daripada penguatkuasaan beberapa undang-undang jenayah di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya tahu penjenayah tempatan melarikan diri ke Thailand untuk mengelak Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasaan) 2013 (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).

“Kita akan buru habis-habisan penjenayah ini terutamanya mereka yang terlibat dengan jenayah terancang yang datang ke Thailand untuk mengelak daripada POCA dan POTA yang mengikut pengalaman kita datang ke negara ini untuk berlindung.”

Kita akan bincang dengan Thailand tentang kaedah untuk banteras jenayah rentas sempadan ini dan memberkas mereka,” katanya kepada pemberita sejurus ketibaannya di sini untuk lawatan kerja dua hari ke Thailand.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, isu penjenayah Malaysia berlindung di Thailand merupakan satu daripada lima isu yang menjadi tumpuan dalam lawatan kerja dua harinya ke negara ini bermula hari ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) disambut pegawai Kedutaan Malaysia dan Wisma Putra di hotel penginapannya di Bangkok. – Bernama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) disambut pegawai Kedutaan Malaysia dan Wisma Putra di hotel penginapannya di Bangkok. – Bernama

Isu kedua yang menjadi tumpuan beliau, kata Ahmad Zahid, adalah berhubung usaha-usaha membanteras keganasan terutamanya melibatkan anggota militan Daesh yang menjadikan Thailand sebagai ‘tapak’ untuk memasuki Malaysia.

“Ada juga (anggota Daesh) dari Malaysia yang menjadikan Thailand sebagai tapak untuk ke negara ketiga,” katanya dan menambah, terdapat usaha-usaha kerjasama dua hala yang perlu dipertingkatkan.

Usaha-usaha dua hala ini, katanya, melibatkan pertukaran maklumat perisikan dan operasional antara pihak keselamatan kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata juga akan memaklumkan kepada pihak Thailand mengenai penubuhan Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) bagi menggantikan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) bagi mengawal sempadan.

Beliau mahukan usaha mengawal keselamatan sempadan diperkasa antara kedua-dua negara.

Isu mengenai pemerdagangan manusia (TIP) akan turut dibincangkan dalam pertemuannya de-ngan pemimpin-pemimpin Thailand esok, kata Ahmad Zahid. – Bernama