Kerjasama UAE, Korea S cecah AS$33b

Kerjasama UAE, Korea S cecah AS$33b

DUBAI, 26 Sept – Jumlah nilai perdagangan antara Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Korea Selatan mencapai AS$33.43 bilion dari tahun 2010 hingga 2015, menurut agensi berita negeri UAE, WAM kelmarin.

Pengerusi Lembaga Kastam Persekutuan UAE di Abu Dhabi, Ali Al-Kaabi, membuat kenyataan itu selepas beliau pulang dari mesyuarat dua hari Jawatankuasa Kastam Bersama UAE-Korea Selatan di Seoul.

Beliau berkata Korea Selatan merupakan rakan perdagangan ekonomi strategik UAE, “kami berminat untuk menggalakkan kerjasama kastam dengan Korea Selatan dan berkongsi amalan terbaik dalam bidang ini.”

Delegasi Korea telah dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Perkhidmatan Kastam Korea, Chun Hong-uk, bersama-sama dengan beberapa pegawai kastam Korea. UAE mempunyai pelabuhan kontena terbesar buatan manusia di seluruh dunia, Pelabuhan Jebel Ali Free di Dubai, yang digunakan untuk perniagaan eksport semula di negeri itu.

Walau bagaimanapun, laporan WAM tidak mendedahkan angka perdagangan sebelum 2010.

Al-Kaabi menegaskan hubungan ekonomi dan perdagangan UAE dan Korea Selatan adalah kukuh, dan mengatakan bahawa terdapat “kesungguhan diantara kedua-dua buah negara bagi mengukuhkan lagi hubungan dan bertukar-tukar pengalaman serta kepakaran dalam bidang kastam untuk mengembangkan perdagangan antara rantau dan meningkatkan jumlah dagangan secara keseluruhan. “

Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye melawat UAE pada Mac tahun lalu, selepas jawatankuasa kastam bersama itu ditubuhkan. – Xinhua

ARTIKEL YANG SAMA