Kerosakan di sana sini

Kerosakan di sana sini

Oleh Sim Y. H, Mohamad Asyramisyanie, Imelda Groves HA & Anwar Rosly

Gambar oleh Muiz Matdani dan wartawan Media Permata

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Gempar di seluruh negara apabila kejadian angin kencang mengejut berlaku tanpa sebarang amaran awal petang hari ini menyebabkan banyak kejadian pokok tumbang, atap terbang, khemah perniagaan musnah, kerosakan harta benda dan kesesakan jalan raya sehingga lewat petang.

Angin yang bertiup kencang kira-kira 20 hingga 30 minit itu menumbangkan pokok–pokok besar di beberapa batang jalan utama antaranya di Tungku Link, di mana tiga pokok besar mengadang perjalanan menuju ke arah Jerudong berhampiran Institut Perkhidmatan Awam di Tungku.

Selain daripada itu, sekurang-kurangnya 36 buah rumah di Kampong Ayer turut terjejas, dengan salah satu daripadanya musnah sama sekali, dan yang paling teruk adalah di Kampung Burong Pingai.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Draja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah, turut turun padang bagi meninjau keadaan di Kampong Ayer.

Turut serta ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, dan Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Beginilah keadaan bumbung Berek Kelamin Balai Polis Berakas yang rosak diterbangkan angin dalam kejadian ribut kuat yang melanda negara ini petang kelmarin.
Beginilah keadaan bumbung Berek Kelamin Balai Polis Berakas yang rosak diterbangkan angin dalam kejadian ribut kuat yang melanda negara ini petang kelmarin.
Angin kencang merosakkan khemah-khemah Gerai Ramadan di ibu negara.
Angin kencang merosakkan khemah-khemah Gerai Ramadan di ibu negara.

pg04_150711_f

Di ibu negara, kawasan Gerai Ramadan di kawasan letak kereta Bangunan Adat Istiadat Diraja turut terjejas di mana beberapa buah khemah diterbangkan dan membantutkan aktiviti perniagaan di sana.

Ketika dihubungi, pegawai perhubungan awam Jabatan Bomba dan Penyelamat memberitahu sehingga 9 malam ini, Pusat Gerakan jabatan berkenaan tidak putus-putus menerima panggilan kecemasan meskipun keadaan cuaca sudah reda.

Menurut beliau, kebanyakan panggilan yang diterima adalah aduan mengenai pokok tumbang dan atap diterbangkan di beberapa lokasi termasuk di Kampong Ayer dan di kawasan darat di keempat-empat daerah.

“Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat akan memotong pokok-pokok yang menghalang pergerakan lalu lintas dan bagi kes atap terbang pula pihak jabatan akan menutup lubang menggunakan kanvas sebagai tindakan awal,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan supaya orang ramai lebih berhati-hati dan jika angin ribut dan hujan lebat terus berlaku kekal di dalam rumah atau di kawasan yang selamat serta mengelakkan diri daripada memandu sehingga keadaan benar-benar selamat.

Sementara itu, di Berek Polis Berakas pula kejadian yang sama berlaku, menyebabkan kerosakan pada bangunan dan harta benda di 13 unit bangunan berek kelamin.

Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Bahrin bin Mohd Noor turut turun padang meninjau keadaan anggota polis yang menetap di sana.

Kenyataan pegawai perhubungan awam Polis Diraja Brunei menjelaskan bahawa, tindakan segera dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan anggota yang terjejas dengan memindahkan mereka ke tempat tinggal sementara bagi kerja-kerja pembaikpulihan.

Dato Paduka Seri Bahrin turun padang meninjau keadaan anggota polis yang menetap di Berek Polis Berakas.
Dato Paduka Seri Bahrin turun padang meninjau keadaan anggota polis yang menetap di Berek Polis Berakas.
Bumbung dewan Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan yang turut mengalami kerosakan.
Bumbung dewan Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan yang turut mengalami kerosakan.

pg04_150711_c

Kejadian angin kencang dan ribut yang melanda ibu kota hari ini turut menyebabkan kerosakan kepada beberapa buah sekolah di sekitar Bandar Seri Begawan.

Ia jelas kelihatan di beberapa buah sekolah di sana yang mengalami kerosakan di bahagian pagar yang ditimpa pokok tumbang dan sebuah sekolah swasta yang mengalami kerosakan di bahagian bumbung.

Wartawan Media Permata yang meninjau di beberapa buah lokasi di sana melaporkan kerosakan turut dialami Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan yang kehilangan bumbung dewan sekolah berkenaan kira-kira pukul 3 petang tadi.

Turut ditemui di sana ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan, Ong Tiong Oh dan juga Pengetua sekolah, Kho Guik Lan yang menyatakan perasaan syukur bahawa semasa kejadian itu, tidak ada pelajar berada di dewan berkenaan kerana cuti persekolahan.

Sementara itu, di Daerah Belait, situasi serupa turut dapat disaksikan, di mana lima kejadian berasingan dilaporkan di kawasan Rasau, Kampung Mumong dan sekitar Jalan Singa Menteri, termasuk beberapa insiden kecil yang berlaku di Seria dan Lumut akibat angin ribut kencang.

Kejadian awal dilaporkan berlaku di Jambatan Rasau apabila sebuah pokok tumbang menyebabkan kesesakan lalu lintas dari jambatan sehingga ke Tol Rasau dan dua kes kemalangan kereta berlaku di sepanjang Jalan Singa Menteri yang juga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang panjang dari Jalan Pandan 8 hingga ke pusing keliling berdekatan Kampung Panaga.

Anggota bomba menutup bumbung rumah Awang Mohd Suhaili dengan kain kanvas.
Anggota bomba menutup bumbung rumah Awang Mohd Suhaili dengan kain kanvas.
Atap garaj rumah Dayang Siti Hawa tercabut ditiup angin kencang.
Atap garaj rumah Dayang Siti Hawa tercabut ditiup angin kencang.

pg04_150711_h

Papan tanda besar di pusing keliling Jalan Maharaja Setia dekat Rasau, turut tumbang.
Papan tanda besar di pusing keliling Jalan Maharaja Setia dekat Rasau, turut tumbang.

Sebuah papan tanda besar berdekatan dengan Rasau di Jalan Maharaja Setia juga tumbang ditiup angin, namun tidak menghalang jalan raya seperti di jalan-jalan yang lain.

Dalam satu kejadian yang berlaku pada jam 2 petang, atap tempat letak kereta di rumah seorang penduduk Kampung Mumong tercabut dan menghempap atap bumbung tempat letak kereta jiran sebelah.

Apabila wartawan Media Permata tiba di rumah Dayang Siti Hawa binti Nahar itu, sebuah jentera bomba dari Operasi Cawangan B sudah berada di sana untuk melihat keadaan kerosakan yang dialami.

Menurut Dayang Siti Hawa, selepas selesai bersembahyang beliau dikejutkan dengan panggilan anaknya yang terdengar bunyi seperti dentuman kuat di luar rumah.

“Apabila saya keluar untuk memeriksa punca bunyi tersebut saya mendapati atap bumbung tempat letak kereta saya tercabut dan menimpa atap bumbung tempat letak kereta jiran saya,” jelasnya.

Bagaimanapun setelah memeriksa, mujurlah tiada kerosakan yang berlaku ke atas kereta-kereta mereka.

Sementara itu, beberapa anggota bomba juga pergi ke rumah Awang Mohammad Suhaili bin Abdullah di Kampung Lumut untuk memasang kanvas bagi menggantikan atap rumah yang tercabut, bagaimanapun tiada kerosakan lain yang dilaporkan.

Menurut Pegawai Pemerintah Balai Bomba Cawangan B, Kuala Belait, Awang Muhd Shahreeni bin Haji Yussof, sebanyak tiga panggilan mengenai pokok tumbang yang menghadang jalan diterima, manakala itu, dua panggilan diterima bagi kejadian atap terbang dan tiga panggilan lain mengenai pokok tumbang.

ARTIKEL YANG SAMA