Kerosakan komponen punca nahas AirAsia

Kerosakan komponen punca nahas AirAsia

JAKARTA, 1 Dis (Reuters) – Kerosakan komponen dan kelewatan respons daripada anggota krew menyebabkan pesawat AirAsia A320 terhempas ke Laut Jawa tahun lalu, mengorbankan semua 162 orang di atas pesawat, menurut laporan pihak berkuasa Indonesia hari ini.

Penerbangan QZ8501 terjunam ke laut dalam keadaan cuaca buruk pada 28 Disember 2014, ketika apa yang sepatutnya merupakan penerbangan rutin dari Surabaya ke Singapura.

Nahas Airbus A320-200 itu mencetuskan usaha pencarian antarabangsa yang meluas, dengan sejumlah kapal dan pesawat dari beberapa negara terbabit dalam operasi yang terjejas akibat arus kuat dan cuaca buruk.

Mayat 56 mangsa yang maut tidak berjaya ditemui sehingga kini.

Dalam laporan akhir nahas itu yang dikeluarkan hari ini, pegawai Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia berkata penyelenggaraan yang buruk dan kerosakan sistem yang membantu mengawal pergerakan kemudi adalah faktor penyumbang kepada nahas berkenaan.

Gambar fail bertarikh 10 Januari 2015 menunjukkan bangkai bahagian ekor pesawat AirAsia QZ8501 yang ditemui dari dasar laut diangkut ke atas kapal Crest Onyx di Kalimantan Tengah, Indonesia. – Reuters
Gambar fail bertarikh 10 Januari 2015 menunjukkan bangkai bahagian ekor pesawat AirAsia QZ8501 yang ditemui dari dasar laut diangkut ke atas kapal Crest Onyx di Kalimantan Tengah, Indonesia. – Reuters

Laporan tersebut turut memberi penjelasan rasmi pertama tentang kenapa penerbangan QZ8501 hilang dari radar, selepas Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Indonesia enggan menyiarkan laporan awal.

Antara fakta-fakta yang dikeluarkan setakat ini, pegawai pertama Perancis mengemudi pesawat sejurus sebelum nahas itu dan melengahkan amaran bunyi dalam kokpit, yang menunjukkan jet itu telah kehilangan daya angkat.

Laporan itu menumpu terutamanya tentang sama ada mana-mana sistem pesawat udara rosak dan bagaimana respons juruterbang.

Mereka yang mengetahui tentang perkara ini memberitahu Reuters awal tahun ini bahawa para penyiasat meneliti rekod penyelenggaraan bahagian penting sistem kawalan pesawat udara itu.

Menurut laporan, salah seorang juruterbang cuba mematikan kuasa komputer yang rosak sekejap-sekejap dengan menarik pemutus litar, satu prosedur yang lazimnya tidak dibenarkan dalam penerbangan.

Terdahulu dua sumber memberitahu Reuters bahawa kapten telah meninggalkan tempat duduknya untuk berbuat demikian, tetapi para penyiasat Indonesia berkata pada Februari lalu mereka tidak menemukan bukti untuk itu atau kuasa itu telah sengaja dimatikan.