Kerry beri amaran kepada Utara

Kerry beri amaran kepada Utara

SEOUL, 18 Mei – Setiausaha Negara AS John Kerry mengingatkan Korea Utara hari ini mengenai sekatan baru tatkala beliau mengecam kepimpinan Kim Jong-Un yang betul-betul “tidak cekap” yang bergantung pada provokasi cuai dan pelaksanaan hukuman yang “melampau.”

Bercakap di ibu negara Korea Selatan Seoul, Kerry berkata ujian peluru berpandu balistik terbaru (SLBM) menunjukkan Korea Utara tidak mempunyai minat dalam membabitkan diri dengan komuniti antarabangsa.

“Sebaliknya, ia terus memburu program senjata nuklear dan peluru berpandu balistik, ia terus memungkiri janji dan mengeluarkan ugutan, dan ia terus menunjukkan sikap tidak mempeduli undang-undang antarabangsa,” beritahunya pada satu persidangan akhbar dengan Menteri Luar Korea Selatan Yun Byong-Se.

“Itulah sebabnya adalah penting untuk kami mempertingkat tekanan antarabangsa ke atas Korea Utara supaya mengubah tingkah laku mereka,” tambah beliau, memetik kemungkinan penggunaan “sekatan atau kaedah lain” untuk memaksa Pyongyang mengubah haluan mereka.

Negara miskin itu telah pun dikenakan sekatan ekoran beberapa siri ujian nuklear dan peluru berpandu yang dilancarkan sebagai mencabuli resolusi PBB.

Kerry (tengah) meletakkan anak damit, Andrew Belz di bahunya ketika dia bergambar bersama kanak-kanak kakitangan tentera dan kedutaan AS di Collier Field House di Garison Yongsan, 18 Mei. Kerry berada di Korea untuk membincangkan isu keselamatan ekoran ujian misil balistik baru oleh Korea Utara dan laporan hukuman mati ketua pertahanannya. – AFP
Kerry (tengah) meletakkan anak damit, Andrew Belz di bahunya ketika dia bergambar bersama kanak-kanak kakitangan tentera dan kedutaan AS di Collier Field House di Garison Yongsan, 18 Mei. Kerry berada di Korea untuk membincangkan isu keselamatan ekoran ujian misil balistik baru oleh Korea Utara dan laporan hukuman mati ketua pertahanannya. – AFP

Seminggu lalu, Utara berkata ia telah berjaya menembak SLBM, mengingkari pengharaman PBB ke atas penggunaan atau menguji teknologi peluru berpandu balistik. SLBM yang lengkap akan membawa ancaman nuklear Korea Utara kepada tahap baru, membenarkan pelancaran di luar semenanjung Korea dan berpotensi menyerang balas sekiranya berlaku serangan nuklear.

Dalam satu bidasan ke atas Kim Jong-Un, Kerry berkata kepimpinannya adalah salah satu yang “paling teruk di mana-mana planet” yang tidak menghiraukan hak asasi manusia.

Beliau memetik “kisah pelaksanaan hukuman pelik, mengerikan, dahsyat” yang dilakukan secara sewenang-wenang oleh Kim, selalunya ke atas mereka yang paling rapat dengannya. – AFP