Kerry gesa usahawan teknologi tangani cabaran global

Kerry gesa usahawan teknologi tangani cabaran global

PALO ALTO, California, 24 Jun (Bernama) – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry menggesa usahawan teknologi turut sama menangani jenayah keganasan, perubahan cuaca serta membanteras rasuah.

“Anda mungkin tidak percaya bahawa semua isu ini secara sendirinya telah menjadi tanggungjawab anda, saya mahu beritahu anda, kita memerlukan kreativiti anda untuk menangani setiap perkara ini.

“Anda mempunyai kepentingan asas mengenai bagaimana persoalan ini perlu dijawab, supaya anda mampu menjalan-kan perniagaan tanpa rasa takut terhadap serangan pengganas.

“Anda mahu mengambil peluang daripada keterbukaan ekonomi besar dalam pasaran tenaga bersih. Anda mahu memperluaskan perusahaan anda tanpa perlu terlibat dengan rasuah atau bergantung kepada hubungan kawan di peringkat tinggi,” katanya semasa pembukaan Sidang Kemuncak Keusahawanan Global 2016 (GES) di sini, hari ini.

Lebih 700 usahawan dan 300 pencipta menyertai sidang kemuncak itu.

Beliau berkata pentadbiran AS di bawah Presiden Barrack Obama menyokong usahawan dan menjadikannya sebagai keutamaan teratas dalam dasar diplomasi dan luar negara presiden.

Kerry berkata Jabatan Negara AS bekerja secara langsung bersama-sama usahawan di luar negara melalui penubuhan pusat di Pakistan, Kemboja, Zambia dan Kenya dengan menyediakan latihan, bimbingan dan akses kepada teknologi untuk usahawan wanita.

Jabatan berkenaan turut menyediakan sumber untuk membantu generasi pencipta akan datang di wilayah Delta Mekong di Vietnam dan membantu mereka memelihara kawasan berkenaan serta permulaan pertumbuhan.

“Kami telah membawa ribuan usahawan untuk bersama-sama di setiap penganjuran GES, dan seperti yang saya sebutkan, ini akan diteruskan melangkaui pentadbiran Obama sebagai Presiden, di India pada tahun depan,” katanya.

Obama akan berucap di sidang kemuncak selama tiga hari itu yang berakhir Jumaat.

ARTIKEL YANG SAMA