Kerry jalani pembedahan kaki empat jam

Kerry jalani pembedahan kaki empat jam

WASHINGTON, 3 Jun (AFP) – Diplomat Amerika Syarikat yang berjalan ke merata dunia John Kerry semalam menjalani pembedahan untuk memulihkan kakinya yang patah, dan para doktornya berharap untuk memastikan beliau mampu berjalan dalam tempoh 24 jam.

“Prosedurnya tidaklah rumit, bahagian tulang yang patah dipulihkan sepenuhnya, dan kami merancang memastikannya mula berjalan hari ini (Rabu),” pakar bedah ortopedik Kerry, Dennis Burke, dari Hospital Umum Massachusetts, berkata dalam satu kenyataan.

Pakar bedah itu berkata pembedahan dijalankan “menggunakan anestetik dan Setiausaha Negara berada dalam keadaan sedar sepanjang tempoh pembedahan empat jam.”

Burke menambah beliau “tidak menjangka kecederaan itu akan menjejaskan” tugasan Kerry sebagai Setiausaha Negara.

Sejurus selepas pembedahan itu, diplomat berusia 71 tahun itu mula bertugas pada awal pagi semalam, membuat beberapa panggilan telefon kepada rakan sejawatannya selain membuat panggilan kepada sekretariat persidangan peringkat tertinggi di Paris, Perancis, yang sepatutnya beliau hadiri.

Kerry mengalami kecederaan itu ketika berbasikal di kawasan pergunungan Alps pada hujung minggu dan kemudian diterbangkan pulang ke AS menggunakan pesawat tentera C-17 dan terpaksa membatalkan kunjungannya ke Sepanyol dan Perancis.