Kerry ke Sri Lanka, jalin hubungan

Kerry ke Sri Lanka, jalin hubungan

WASHINGTON, 1 Mei (AFP) – Diplomat tertinggi Amerika Syarikat (AS) John Kerry berlepas awal hari ini bagi lawatan bersejarah ke Sri Lanka, lawatan pertama seumpamanya dalam tempoh sedekad ke pulau Lautan Hindi itu ketika ia kembali kepada hubungan diplomatik.

Kerry dijangka tiba sekitar subuh esok di Colombo, dan menjadi setiausaha negara AS pertama menjejakkan kaki di negara Asia Selatan itu sejak Colin Powell, yang melawat negara itu dalam tahun 2005 selepas kejadian tsunami Asia yang memusnah.

Kerry akan mengadakan pertemuan dengan presiden baru Maithripala Sirisena, yang dilantik pada 8 Januari lalu setelah beliau mengalahkan orang kuat lama Mahinda Rajapakse di kotak undian.

Diplomat AS akan juga menemui Perdana Menteri Ranil Wickremesighe dan Menteri Luar Mangala Samaraweera, kata pegawai kanan Jabatan Negara, dengan menambah kata Kerry akan juga mengadakan rundingan dengan para pemimpin politik dari minoriti Tamil.

AS dan Eropah memuji peralihan demokrasi Sri Lanka dengan berharap akan membuka lembaran baru setelah perbalahan selama bertahun-tahun akibat tindakan kejam bekas rejim ke atas pemberontak pemisah Harimau Tamil.

“Lawatan itu dihasratkan untuk menunjukkan bahawa kerajaan AS menyokong dan memuji visi itu, usaha ini,” kata pegawai Jabatan Negara.

Ia juga bertujuan untuk menunjukkan wujud “masa depan yang mana kita mempunyai hubungan sangat baik dan saling bantu-membantu dengan sebuah negara yang boleh menjadi sinar sebenar demokrasi, hak kemanusiaan, perdamaian, yang mana masyarakat awam dan minoriti agama boleh hidup bebas.”

PBB, dibantu oleh AS, telah menyiasat ke atas kemungkinan jenayah perang ketika perang saudara selama lebih setahun. Bagaimanapun dalam bulan Februari, PBB telah menangguhkan laporannya atas permintaan Colombo untuk memberikan lebih masa kepada Sri Lanka untuk menyelesaikan penyiasatannya sendiri.

“Kami sentiasa berkata bahawa kami menyokong proses domestik yang boleh dipercayai dan dianggap sebagai yang boleh dipercayai oleh rakyat Sri Lanka,” kata pegawai AS itu lagi.

Dari Sri Lanka, Kerry dijangka pergi ke Nairobi dan kemudian ke Djibouti sebelum pulang ke Washington sekitar 8 Mei.

Beliau akan menjadi setiausaha negara pertama yang melawat Djibouti, negara semenanjung timur laut Afrika, yang telah menjadi tumpuan apabila beribu-ribu orang melarikan diri dari kekacauan di Yaman, yang terletak di seberang selat Laut Merah.