Kerry, menteri G7 berada di Jepun

Kerry, menteri G7 berada di Jepun

HIROSHIMA, Jepun, 10 April (AFP) – Menteri-menteri luar G7 hari ini memulakan rundingan selama dua hari di Hiroshima, bersama lawatan Kerry ke bandar yang dibom nuklear – kunjungan pertama oleh setiausaha negara Amerika Syarikat (AS) itu – yang menyuramkan agenda yang lebih luas.

Lawatan penting Kerry itu dilihat sebagai membuka laluan kepada Barack Obama untuk menjadi presiden AS pertama yang berkunjung ke metropolis itu pada bulan depan apabila beliau melawat Jepun untuk sidang kemuncak Kumpulan Tujuh.

Mesyuarat itu yang bermula hari ini juga termasuk diplomat tertinggi dari Britain dan Perancis yang bersenjata nuklear, serta Kanada, Jerman, Itali, Jepun dan juga Kesatuan Eropah.

Perhimpunan itu merupakan sebahagian daripada acara sebelum perhimpunan pemimpin tahunan G7, dijadualkan diadakan pada tahun ini dari 26-27 Mei di rantau Ise-Shima di antara Tokyo dan Osaka.

Kerry tiba pada awal hari ini di pangkalan tentera AS di barat Hiroshima dari Afghanistan selepas membuat persinggahan di Iraq dan Bahrain.

Fumio Kishida (kanan) mengiringi (dari kiri-kanan) Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault, Menteri Luar Kanada Stephane Dion, John Kerry, Philip Hammond, Federica Mogherini, Kishida dan Menteri Luar Itali, Paolo Gentiloni ketika berada di Pulau Miyajima pada 10 April. – AFP
Fumio Kishida (kanan) mengiringi (dari kiri-kanan) Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault, Menteri Luar Kanada Stephane Dion, John Kerry, Philip Hammond, Federica Mogherini, Kishida dan Menteri Luar Itali, Paolo Gentiloni ketika berada di Pulau Miyajima pada 10 April. – AFP

Setiausaha negara AS, Philip Hammond dari Britain, Jean-Marc Ayrault dari Perancis dan menteri lain merancang membincang isu terdesak termasuk Timur Tengah, krisis penghijrahan, konflik di Ukraine dan keganasan.

Negara tuan rumah Jepun juga berharap dapat memaparkan isu lain, seperti ketegangan wilayah yang meningkat di Laut China Selatan di mana China dan beberapa negara Asia Tenggara terbabit dalam perbalahan, dan ancaman perang dari Korea Utara.

Namun apa yang menarik perhatian orang awam Jepun adalah lokasi dan apa yang diharapkan oleh mereka adalah pemahaman yang lebih tentang dasar anti-nuklear sebagai satu-satunya negara yang mengalami serangan nuklear.

Menteri luar Jepun Fumio Kishida, yang mewakili Hiroshima dalam parlimen, juga berharap dapat mengeluarkan “Deklarasi Hiroshima” pada mesyuarat untuk mempromosi pelucutan senjata nuklear.

“Saya ingin menghantar mesej keamanan dan mewujudkan dunia yang bebas daripada senjata nuklear,” kata Kishida pada majlis alu-aluan itu.

Kerry dan menteri lain dijadualkan melawat Taman Peringatan Keamanan Hiroshima, yang menempatkan runtuhan bangunan berbentuk kubah yang dimusnahkan oleh letupan, dan sebuah muzium.

ARTIKEL YANG SAMA