Kerry terlibat dalam kemalangan basikal

Kerry terlibat dalam kemalangan basikal

GENEVA, 31 Mei (AFP) – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry telah dimasukkan ke hospital di Geneva hari ini selepas kakinya cedera dalam kemalangan berbasikal menyeberang sempadan di Perancis, menurut Jabatan Kerajaan.

Kerry yang berusia 71 tahun itu telah diterbangkan menggunakan helikopter ke Hospital Geneva University berikutan berlakunya kemalangan di Scionzier, berhampiran Chamonix di Pergunungan Alp Perancis, menurut jurucakap John Kirby dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Kerry telah ‘mengalami kecederaan di kaki’ dalam kemalangan yang berlaku sekitar 9:40 pagi (0740 GMT).

“Paramedik dan seorang pakar perubatan berada di tempat kejadian bersama iringan setiausaha itu pada waktu kemalangan,” kata Kirby, menambah bahawa Kerry ‘sudah stabil dan…sedar’.

Menurut pegawai Jabatan Kerajaan lain, mengatakan Kerry ‘jatuh selepas meredah kawasan selekoh tajam’, menambah bahawa setiausaha itu ‘sedar’ dan menjalani pemeriksaan X-ray di kakinya.

Kerry mengadakan rundingan pada Sabtu di Geneva bersama rakan sejawatannya dari Iran, Mohammad Javad Zarif dalam usaha untuk menjamin perjanjian nuklear menjelang tempoh tamat pada 30 Jun.

Rundingan itu tidak akan diadakan pada hari kedua seperti yang dirancang selepas Tehran menolak tuntutan penting Barat bagi pemeriksaan tapak.

Semasa rehat daripada rundingan itu, beliau sering keluar daripada hotelnya untuk menunggang basikalnya – yang biasanya membawa bersama misi luar negerinya – ditemani oleh sekumpulan pengawal keselamatan.

Kerry dikatakan telah membatalkan perjalanan ke Sepanyol petang ini dan akan pulang ke Amerika Syarikat untuk menjalani rawatan susulan.