Kerry tiba di Bangladesh

Kerry tiba di Bangladesh

DHAKA, 29 Ogos – Setiausaha Negara AS John Kerry tiba di Bangladesh hari ini bagi rundingan dengan Perdana Menteri Sheikh Hasina untuk mengatasi isu pelampau tempatan ekoran beberapa siri serangan teruk.

Kerry juga dijangka bertemu dengan pemimpin awam dan pembangkang ketika lawatan dua hari itu, yang pertama ke negara yang sedang berpulih daripada serangan ke atas sebuah kafe yang membunuh 22 orang, kebanyakannya warga asing.

Beberapa jam sebelum ketibaan Kerry, polis Bangladesh menembak mati dua anggota kumpulan pelampau Jamayetul Mujahideen Bangladesh (JMB) yang bertanggungjawab ke atas serangan kafe pada bulan lalu.

Militan yang disyaki itu, termasuk seorang komander JMB serantau, terbunuh ketika satu pertempuran dengan pegawai keselamatan di utara bandar Sherpur, kata jurucakap polis.

“Mereka disahkan mati selepas dibawa ke sebuah hospital tempatan,” beritahu jurucakap Gaziur Rahman kepada AFP.

John Kerry (kiri) dan Sheikh Hasina berjabat tangan menjelang mesyuarat di Dhaka pada 29 Ogos. – AFP
John Kerry (kiri) dan Sheikh Hasina berjabat tangan menjelang mesyuarat di Dhaka pada 29 Ogos. – AFP

Amerika Syarikat dan Bangladesh mempunyai “perkongsian lama” dengan “program dilancarkan selama beberapa tahun yang mengatasi langkah cegah keganasan dan perkongsian keselamatan,” kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS sebelum ketibaan Kerry.

Rundingan di antara kedua-dua negara telah meningkat dalam beberapa bulan ini, menurut pegawai, dengan AS terbabit dengan polis dan tentera Bangladesh yang ditugaskan untuk mengatasi isu pelampau.

Lawatan Kerry diadakan dua hari selepas polis Bangladesh menembak mati dalang serangan kafe ketika satu pertempuran di luar Dhaka. Polis menamakan tersangka sebagai pemimpin JMB Tamim Chowdhury.

Kumpulan Islamic State mendakwa bertanggungjawab atas serangan pada 1 Julai ke atas kafe Dhaka di mana lelaki bersenjata menahan warga Barat untuk dijadikan tebusan termasuk seorang warga Amerika, sebelum membunuh mereka. – AFP