Kerugian kebakaran catat RM324.3 juta

Kerugian kebakaran catat RM324.3 juta

KUCHING, 11 Nov – Jumlah kerugian akibat kebakaran di Sarawak bagi 10 bulan pertama tahun ini meningkat kepada RM324.3 juta, berbanding RM116.5 juta untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata pada masa sama, pihaknya berjaya menyelamatkan harta berjumlah RM1.7 bilion, meningkat daripada RM318.5 juta untuk 10 bulan pertama tahun lalu.

“Setakat 1 Nov, jumlah panggilan kebakaran di seluruh negeri ini mencatat penurunan sebanyak 23 peratus iaitu 1,963 kes berbanding 2,575 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah kematian akibat kebakaran setakat ini merekodkan 10 orang berbanding 11 pada 2014,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat JBPM Sarawak hari ini.