Kerugian lebih 3 juta

Kerugian lebih 3 juta

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jan –Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima peningkatan jumlah panggilan kebakaran rumah dari 2013 hingga 2015 iaitu sebanyak 63 kes pada 2013, 52 kes pada 2014 dan 77 kes pada 2015.

Daripada sebanyak 77 panggilan kebakaran rumah pada tahun lalu, kerugian yang dianggarkan daripada kejadian berkenaan adalah sebanyak $3,254,018 dan harta benda yang berjaya diselamatkan adalah sebanyak $3,823,800.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat semalam, penyebab utama berlakunya kebakaran rumah dipercayai berpunca daripada kejadian yang tidak disengajakan iaitu daripada elektrik berikutan kecuaian dan kurang pengetahuan pengguna dalam menggunakan peralatan elektrik yang menyebabkan kepanasan berlebihan, lebih beban, litar pintas dan penyambungan yang longgar.

Penyebab utama kedua ialah masakan yang ditinggalkan dan penyebab ketiga ialah saluran hos gas yang longgar atau bocor.

Awang Yahya memberikan penerangan kepada pihak media.
Awang Yahya memberikan penerangan kepada pihak media.

Dalam hubungan itu, pihak Bomba dan Penyelamat menyeru orang ramai supaya sentiasa peka dan menitik beratkan aspek keselamatan di kediaman mereka dengan sentiasa berhati-hati dan mengambil berat mengenai aspek keselamatan pencegahan kebakaran secara keseluruhan, tidak lalai dan cuai dalam penggunaan peralatan elektrik iaitu memastikan ia sentiasa diselenggarakan dan mengikut piawaian yang betul, mematikan suis peralatan elektrik jika tidak digunakan.

Selain itu, mereka dinasihatkan tidak meninggalkan masakan tanpa diawasi serta untuk memastikan dan menggunakan komponen peralatan memasak seperti hos dan kepala gas yang disyorkan oleh pihak Syarikat Pemasaran Brunei Shell dan untuk memastikan penyambungan hos tidak longgar.

Sementara itu, menyentuh mengani keadaan cuaca panas dan kering yang menyebabkan kebakaran hutan, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat menyatakan bahawa, pada 2015, jabatan berkenaan menerima sebanyak 1,116 panggilan kebakaran hutan dan rumput.

Pihak bomba menjelaskan bahawa antara kemungkinan punca-punca yang menyebabkan kebakaran rumput dan hutan itu adalah daripada kegiatan pembakaran terbuka bagi tujuan pertanian, riadah seperti memancing dan berkhemah serta unggun api yang ditinggalkan tanpa pengawasan.

Oleh itu, orang ramai ditegaskan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka ketika musim panas dan kering yang boleh menyebabkan terjadinya kebakaran hutan/rumput dan seterusnya nanti akan merebak ke kawasan hutan berdekatan atau kawasan perumahan.

Para pemandu yang menggunakan jalan atau melalui sebarang jalan raya yang berdekatan dengan kebakaran dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati kerana asap daripada kebakaran itu akan menyebabkan keadaan berjerebu yang pasti akan menghalang pemandangan dan berkemungkinan akan menyebabkan kemalangan.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat melalui cawangan-cawangan dan balai bomba seluruh negara berusaha untuk menjalankan rondaan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti selalu terjadinya kebakaran untuk tindakan segera dan membuat pemantauan bagi memastikan tidak ada kegiatan pembakaran secara terbuka oleh orang ramai yang boleh menyebabkan kebakaran hutan.

Orang ramai yang melihat sebarang kejadian kebakaran diseru untuk menghubungi segera Jabatan Bomba dan Penyelamat melalui talian 995 dengan menyatakan alamat atau kawasan yang terlibat dengan tepat untuk tindakan segera.

Dalam pada itu, bagi memastikan pelan pengurusan kebakaran yang baik, Jabatan Bomba dan Penyelamat akan mengadakan Seminar Pengurusan Keselamatan Kebakaran pada 16 dan 17 Februari nanti yang disertai oleh pihak-pihak yang berkenaan daripada sektor kerajaan dan swasta di mana pakar-pakar dari Jepun akan mengongsi pengalaman serta amalan terbaik dalam melaksanakan pengurusan keselamatan kebakaran yang efektif.

Perkara itu antara yang disentuh oleh Pengarah Bomba dan Penyelamat, Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman dalam Perjumpaan Bersama Media yang berlangsung di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama, Berakas, hari ini.

Dalam perjumpaan itu, Awang Yahya juga berkata bahawa kebelakangan ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kebakaran rumah yang meningkat di mana pada Januari sahaja iaitu sehingga 27 Januari sebanyak tujuh panggilan telah diterima berhubung dengan kebakaran rumah.