Kes baru HIV meningkat

Kes baru HIV meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Jumlah kes baru HIV yang dilaporkan setiap tahun meningkat dengan 17 kes dikenal pasti pada 2014, 28 kes pada 2015 dan 34 kes pada 2016 (setakat November), jumlah tahunan yang dilaporkan tertinggi setakat ini.

Statistik ini dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi dalam perutusannya sempena Hari AIDS Sedunia 2016 yang mana beliau turut menyatakan bahawa sejak kes pertama dikesan di Brunei pada 1986, sebanyak 172 telah dilaporkan dalam kalangan penduduk dan penduduk tetap.

Yang Berhormat Dato menjelaskan, terdapat beberapa sebab bagi peningkatan jumlah kes yang dilaporkan termasuk kesedaran HIV yang meningkat dan pemeriksaan lebih baik.

Bagaimanapun, tekan beliau, peningkatan kelakuan berisiko juga mungkin menyumbang kepada peningkatan ini.

Data Kementerian Kesihatan mendedahkan bahawa kumpulan tertentu di Brunei lebih berisiko tetapi sesiapa yang aktif secara seksual adalah berisiko dijangkiti HIV.

Menurut beliau lagi, mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan dengan orang lain selain isteri atau suami mereka berisiko dijangkiti HIV. Cara jangkitan lain bagi HIV termasuk berkongsi jarum suntikan yang dijangkiti, jangkitan ibu kepada anak dan menerima pemindahan darah yang dijangkiti.

Yang Berhormat Dato menekankan bahawa kunci untuk menghapuskan ancaman ini adalah untuk memahami bahawa HIV boleh dicegah.

Dengan tiga langkah mudah, katanya, kita boleh meminimumkan ancaman HIV dan AIDS kepada diri kita dan komuniti kita, pertama menahan diri, elakkan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan jangkitan HIV, kedua setia dan ketiga dapatkan pemeriksaan, supaya mereka yang dijangkiti mengetahuinya dan mendapatkan rawatan serta mengambil langkah-langkah sesuai untuk melindungi yang lain daripada dijangkiti.

Jika risau dijangkiti HIV, Yang Berhormat Dato menasihatkan orang ramai bertemu profesional penjagaan kesihatan di pusat-pusat kesihatan atau klinik berdekatan.

“Anda tidak patut rasa bimbang untuk mendapatkan ujian HIV. Serupa dengan masalah perubatan lain seperti diabetes, kerahsiaan pesakit merupakan kunci asas kepada perkhidmatan kesihatan kami.

“Malah, termaktub dalam undang-undang Brunei (di bawah Akta Penyakit Berjangkit) untuk melindungi kerahsiaan orang yang diuji positif HIV,” ujar beliau.

Menyentuh mengenai Hari AIDS Sedunia yang diraikan setiap 1 Disember, Yang Berhormat Dato berkata, ia merupakan peluang bagi orang ramai berusaha aktif untuk meningkatkan kesedaran mengenai HIV dan membantu kementerian mencapai sasaran generasi bebas AIDS.

Ujar beliau lagi, tema sambutan tahun ini iaitu ‘Hands Up for #HIV Prevention’, menyeru kita untuk bertindak segera dan melaksanakan pendekatan menyeluruh masyarakat ke arah melaksanakan strategi-strategi pencegahan HIV yang memberi impak besar dan berasaskan bukti.