Kes baru Zika dilaporkan di Guangdong

Kes baru Zika dilaporkan di Guangdong

GUANGZHOU, 7 Jun – Wilayah Guangdong, selatan China mengesahkan satu kes baru Zika hari ini, membawa jumlah kes yang disahkan di wilayah ini bagi tahun ini kepada 13.

Pesakit wanita berusia 32 tahun itu adalah seorang rakyat China yang tinggal di Venezuela. Dia memasuki China menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou Baiyun pada 30 Mei.

Dia kali pertama jatuh sakit pada 31 Mei namun hanya mendapatkan rawatan perubatan pada 3 Jun selepas mengalami ruam dan menderita sakit belakang, menurut Suruhanjaya Perancangan Keluarga dan Kesihatan Wilayah Guangdong.

Hospital mengesahkan pada Ahad bahawa dia telah dijangkiti Zika.

Seramai 12 pesakit Zika lain di Guangdong semuanya sudah sembuh dan tidak lagi di bawah pemerhatian.

China sedang berjaga-jaga ketika musim hangat bermusim mungkin memudahkan lagi penyebaran virus bawaan nyamuk.

Simptom Zika termasuk demam, sakit sendi, ruam, konjunktivitis, sakit kepala dan otot. – Xinhua

ARTIKEL YANG SAMA