Kes buang anak ditangguhkan

Kes buang anak ditangguhkan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160908_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Mahkamah Majistret, hari ini, menangguhkan kes seorang perempuan warga Indonesia atas pertuduhan membuang anak damitnya yang baru lahir sehingga Disember sementara menunggu keputusan ujian DNA.

Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Zuraidah binti Haji Sidek memohon penangguhan selama tiga bulan untuk sebutan kes Desi Thania, 19, yang bekerja sebagai tukang tenun di perusahaan swasta.

Desi didakwa menyebabkan kematian anak damit perempuannya dengan membuang anak damit itu ke Sungai Brunei melalui tingkap tandas sebuah rumah di Kampung Sungai Besar, pada 7 Ogos 2016, kira-kira jam 3 pagi.

Ketua Majistret Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli berkata, tertuduh terlalu muda untuk ditahan reman di Penjara Jerudong dan mempersoalkan kenapa keputusan DNA terpaksa mengambil tempoh yang lama.

Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan bahawa polis telah menghantar empat sampel kepada Jabatan Perkhidmatan Saintifik pada 13 Ogos lalu di mana jabatan itu memberi tempoh tiga hingga enam bulan untuk menyiapkan laporan DNA.

Ketua Majistret ketika melihat tertuduh di dalam ‘kandang bersalah’ telah bertanya kepadanya sama ada dia dijaga dengan baik di penjara kerana dia sepatutnya menjalani proses ‘berpantang’, di mana tertuduh melalui jurubahasa Indonesia hanya menjawab ‘Ya’ .

Ketua Majistret menetapkan 7 Disember untuk kes disebut semula, dan memerintahkan tertuduh terus ditahan reman di Penjara Jerudong.

Sebelum dibawa keluar, tertuduh memohon kebenaran untuk berjumpa dengan dua orang kakaknya yang berada di galeri awam mahkamah, dan dibenarkan oleh Ketua Majistret untuk berjumpa di sel tahanan mahkamah.

Jika disabit bersalah, tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun dan juga denda mengikut Seksyen 308A(1) Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 dan dihukum di bawah Seksyen 308A(2).

ARTIKEL YANG SAMA