Kes budak hilang masih dalam siasatan

Kes budak hilang masih dalam siasatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Kes kanak-kanak hilang dan dijumpai semula pada 28 Oktober lalu, kini dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Brunei.

Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Haji Mohamad Noor bin Haji Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata, kes tersebut telah tersebar di laman-laman sosial dan ada yang membuat andaian berkemungkinan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu dicederakan.

Menurut beliau, hasil siasatan awal polis mendapati kanak-kanak tersebut telah menghubungi ayahnya untuk mengambilnya di salah sebuah bangunan komersial.

“Kanak-kanak tersebut adalah dalam keadaan selamat dan setelah penyiasatan selesai, kes tersebut akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk sebarang ketetapan dan tindakan lanjut.

Kanak-kanak malang itu dilaporkan hilang di The Mall, Gadong pada petang 28 Oktober lalu dan ditemui semula kira-kira pukul 8 malam.

Menurut ASP Haji Mohamad Noor, Pasukan Polis Diraja Brunei mengucapkan setinggi penghargaan kepada orang ramai atas keprihatinan dan maklumat yang diberikan dalam sama-sama membantu bagi tujuan keselamatan anak tersebut.

Bagaimanapun, tambah beliau, apa yang menyedihkan adanya tokok tambah cerita daripada apa yang sebenarnya berlaku, oleh itu beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan laporan yang salah yang boleh mengelirukan orang awam dan penguatkuasa.

ARTIKEL YANG SAMA