Kes buli, menteri Britain letak jawatan

Kes buli, menteri Britain letak jawatan

LONDON, 1 Dis (AFP) – Seorang menteri Britain meletak jawatan kelmarin berikutan tuduhan sikap pembuli seorang aktivis yang dilantik olehnya menjadi punca utama seorang aktivis muda membunuh diri.

Menteri Pembangunan Antarabangsa yang juga bekas Pengerusi Parti Konservatif, Grant Shapps telah melantik Mark Clarke sebagai pengurus muda kempen parti itu pada 2014.

Elliott Johnson, 21, yang merupakan bekas penulis blog parti tersebut mendakwa dia dibuli oleh Clarke dalam nota bunuh diri yang ditemui selepas dia mengambil nyawa sendiri dengan berbaring di hadapan sebuah kereta api bergerak pada September lalu.

Clarke yang telah dibuang daripada parti itu menyangkal dakwaan tersebut. Jawatan Shapps pula akan diganti oleh Nick Hurd.

Dalam satu surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, David Cameron, Shapps berkata, walaupun tuduhan itu dibuat berhubung tingkah laku Clarke, ‘beberapa bantahan susulan wajar diberi perhatian lebih awal lagi’.

“Memandangkan kejadian ini amat serius dan selepas mengambil kira bahawa saya yang melantik Clarke, langkah terbaik adalah untuk saya meletak jawatan sebagai menteri dalam kerajaan tuan,” kata Shapps kepada Cameron.

Cameron menerima peletakan jawatan Shapps dan memuji sumbangannya kepada parti. Perdana Menteri itu berkata, Shapps ‘mampu memberi lebih banyak sumbangan pada tahun-tahun akan datang’.

Menurut satu siasatan akhbar Guardian, Johnson pernah menulis surat aduan rasmi kepada Parti Konservatif mendakwa Clarke telah memalukannya di khalayak ramai, mengherdiknya dengan kata-kata kesat dan mengugut mahu memicitnya seperti seekor semut’.

“Beliau sepatutnya berundur lebih awal. Biasalah dengan ahli politik, mereka tidak mahu melepaskan kedudukan selagi boleh,” kata bapa Johnson selepas mendapat khabar peletakan jawatan Shapps.

ARTIKEL YANG SAMA