Kes bunuh Bill Kayong dipindahkan ke mahkamah tinggi

Kes bunuh Bill Kayong dipindahkan ke mahkamah tinggi

MIRI, 15 Nov – Mahkamah Majistret Miri hari ini memindahkan kes membabitkan tiga individu yang didakwa membunuh Setiausaha PKR Miri Bill Kayong, pada Jun tahun ini, ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Zuraini Ali Musa membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Izzat Wan Abdullah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah pun memperoleh kebenaran daripada pengarah pendakwaan di Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Selain itu, Zuraini turut memberi kebenaran bagi permohonan beliau agar ketiga-tiga tertuduh dibicarakan bersama-sama.

Mohamad Fitri Pauzi, 29, Lie Chang Loong, 39, dan Chin Wui Chung, 50, mengangguk faham ketika jurubahasa mahkamah memberitahu mereka kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mohamad Fitri, seorang pengawal kelab malam atau ‘bouncer’, didakwa pada 15 Julai atas pembunuhan Bill Kayong di persimpangan lampu isyarat berhampiran E-Mart Supermarket, Jalan Miri-Bintulu pada 8:20 pagi, 21 Jun.

Dia berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Lie, pemilik pub, juga didakwa pada 15 Julai, bersubahat dengan Mohamad Fitri, bersama-sama dengan Chin yang didakwa pada 29 Ogos, mengikut Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kesemua tertuduh telah diwakili oleh peguam Ranbhir Singh Sangha.

Ahli perniagaan, Datuk Lee Chee Kiang, yang masih bebas dan dipercayai berada di Australia, juga didakwa mengikut Seksyen 109 dan 302 Kanun Keseksaan. – Bernama