Kes bunuh: Warga Britain dibicarakan tahun depan

Kes bunuh: Warga Britain dibicarakan tahun depan

HONG KONG, 14 Okt – Seorang kakitangan bank warga Britain yang dituduh membunuh dua wanita warga Indonesia yang mayat mereka ditemui dalam keadaan dicacatkan di pangsapuri mewah lelaki itu di Hong Kong, akan dibicarakan tahun depan bagi pembunuhan itu.

Rurik Jutting, bekas kakitangan Bank America Merrill Lynch berusia 30 tahun itu telah didakwa dengan dua pertuduhan membunuh dan dia belum membuat rayuan rasmi.

Dalam perbicaraan ringkas di Mahkamah Tinggi Hong Kong hari ini tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada 25 Oktober 2016 – dua tahun selepas pembunuhan itu.

Jutting, yang tidak hadir di mahkamah akan berdepan perbicaraan juri yang dijangka mengambil tempoh 20 hari.

Pada perbicaraan majistret pada bulan Mei, Jutting mengatakan dia mungkin membuat akuan tidak bersalah terhadap dakwaan pembunuhan itu.

Gambar fail yang diambil pada 10 November menunjukkan pekerja bank warga Britain, Rurik Jutting (kanan) didakwa membunuh dua wanita Indonesia, tersenyum ketika dia duduk di dalam sebuah van yang meninggalkan mahkamah timur di HK. – AFP
Gambar fail yang diambil pada 10 November menunjukkan pekerja bank warga Britain, Rurik Jutting (kanan) didakwa membunuh dua wanita Indonesia, tersenyum ketika dia duduk di dalam sebuah van yang meninggalkan mahkamah timur di HK. – AFP

Dia tidak secara rasmi membuat akuan pada perbicaraan itu, tetapi apabila majistret Jason Wan bertanya: “Saya menerimanya sebagai tidak bersalah?, Jutting, yang pernah menjadi peniaga sekuriti menjawab: “Betul”.

Jutting akan berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah atas dakwaan membunuh itu.

Seneng Mujiasih dan Sumarti Ningsih, kedua-duanya berusia dalam 20-an, ditemui mati di pangsapuri Jutting pada awal 1 November selepas dia menghubungi polis ke tempat kejadian itu.

Mujiasih ditemui berada di bilik istirahat, dalam keadaan bogel serta mengalami luka akibat tikaman pisau pada kakinya dan punggungnya, manakala mayat reput Ningsih ditemui beberapa jam kemudian di dalam beg pakaian di balkoni.

Pembunuhan itu mengejutkan bandar itu yang mempunyai tujuh juta penduduk – lazimnya dianggap selamat dan terkenal dengan bangunan pencakar langitnya – dan memperlihatkan kelemahan teruk pusat kewangan itu.

Polis berkata kokain dan alat permainan seks ditemui di pangsapuri Jutting, yang terletak tidak jauh dari daerah hiburan, yang mana menurut laporan dia kerap mengunjunginya.

Graduan universiti Cambridge itu telah ditahan di penjara psikiatri Siu Lam Hong Kong dan kini dipindahkan ke penjara keselamatan ketat lain di Lai Chi Kok, menurut mahkamah hari ini, tanpa memberi sebab lain. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA