Kes cabul anak saudara dipindahkan

Kes cabul anak saudara dipindahkan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes seorang bapa saudara yang didakwa bagi pertuduhan mencabul kehormatan anak saudaranya ke Mahkamah Perantaraan.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Pengiran Azmeena binti Pengiran Mohiddin membuat permohonan untuk kes itu dipindahkan, dan menetapkan 3 Februari untuk sebutan semula di mahkamah berkenaan.

Dalam sebutan hari ini, Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan mahkamah mengenai pertuduhan tambahan ke atas tertuduh.

Tertuduh yang namanya tidak dapat didedahkan untuk melindungi identiti mangsa berdepan dakwaan melakukan kekerasan terhadap anak saudaranya dengan mencabul kehormatan mangsa yang berusia 14 tahun.

pg06_160203_mahkamah logo

Dia didakwa mengikut Seksyen 354B Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebatan.

Pertuduhan kedua menyebut, tertuduh berniat melakukan ‘yang bukan-bukan’ kepada mangsa di mana dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa penjara maksimum tiga tahun dan denda.

Untuk pertuduhan ketiga, dia berdepan dakwaan cuba merogol mangsa dan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 iaitu penjara yang boleh dilanjutkan sehingga 30 tahun dan juga sebatan serta dibaca bersama Seksyen 511.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 Mei 2015 kira-kira jam 9 pagi di sebuah rumah di Daerah Tutong.

Dia juga berdepan tuduhan keempat iaitu merogol mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun pada 2013.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10 malam dalam sebuah kereta di kawasan Kampung Lamunin, dan didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa penjara untuk tempoh tidak kurang daripada lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun, serta tidak kurang daripada 12 sebatan.

Kes turut dikendalikan bersama Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurjauinah binti Haji Kula.

ARTIKEL YANG SAMA