Kes cabul anak saudara ditetapkan 5 Mac

Kes cabul anak saudara ditetapkan 5 Mac

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160229_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Mahkamah Perantaraan di sini, semalam, menolak permohonan seorang bapa saudara yang ingin mengubah pangkuan ‘bersalah’ kepada ‘tidak bersalah’ bagi pertuduhan mencabul kehormatan dan merogol anak saudaranya.

Tertuduh yang namanya tidak dapat didedahkan untuk melindungi identiti mangsa memberi alasan ‘keliru’ dan ‘bingung’ ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya dalam sebutan terdahulu apabila Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain meminta tertuduh untuk memberikan penjelasannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurjauinah binti Haji Kula yang membuat pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa alasan tertuduh itu sama sekali tidak berasas kerana tertuduh ketika dihadapkan memberitahu bahawa dia memahami dan bersetuju akan pertuduhan dan fakta kes yang dibacakan sebanyak dua kali itu dalam Bahasa Melayu oleh jurubahasa mahkamah.

Tambahan lagi, tertuduh dalam rayuannya ketika itu menyuarakan rasa sesal akan perbuatan yang dilakukan dan memohon maaf kepada ibu bapa mangsa, kata Timbalan Pendakwa Raya.

Tertuduh berdepan dakwaan melakukan kekerasan terhadap anak saudaranya yang berusia 14 tahun dengan memeluknya dari belakang dan meraba payu daranya. Dia juga didakwa berniat untuk melakukan perbuatan yang tidak senonoh kepada mangsa dan cuba merogolnya. Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu pada 22 Mei 2015, kira-kira jam 9 pagi di Daerah Tutong.

Tertuduh juga dituduh merogol mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun pada 2013 kira-kira jam 8 malam dalam sebuah kereta di kawasan Kampung Lamunin.

Hakim Pengiran Hajah Hanani menetapkan 5 Mac untuk sebutan semula.

ARTIKEL YANG SAMA