Kes Cabul: Suspek dihadapkan ke mahkamah

Kes Cabul: Suspek dihadapkan ke mahkamah

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Julai – Seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang pelajar sekolah.

Pengiran Shahirul Hamadi bin Pengiran Haji Jaya, 28, didakwa cuba mencabul kehormatan seorang pelajar Sekolah St Andrew’s berusia 11 tahun dengan memasukkan tangannya ke dada pelajar itu antara jam 12 dan 12:18 tengah hari pada 29 Jun 2015 dalam kawasan sekolah.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman memberitahu mahkamah bahawa tertuduh ditangkap sekitar 8 malam tadi, dan memohon kepada mahkamah supaya tertuduh ditahan reman selama seminggu di Balai Polis Pusat bagi polis menjalankan siasatan.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli membenarkan permohonan itu, dan menetapkan 9 Julai untuk sebutan semula.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 354 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan penjara yang boleh dilanjutkan sehingga lima tahun dan sebatan.

Dalam insiden yang berlaku pada 29 Jun yang dilaporkan dalam Media Permata, seorang lelaki mencurigakan telah cuba memaksa seorang pelajar perempuan Sekolah St Andrew masuk ke dalam keretanya tanpa sebab.

Bagaimanapun, pelajar itu telah menjauhi lelaki tersebut serta melaporkan kejadian tersebut kepada gurunya, yang kemudian bertindak mengejar lelaki terbabit, tetapi dia (lelaki mencurigakan) sudah melarikan diri.

Lelaki itu juga dikatakan telah menyentuh di bahagian dada seorang lagi pelajar perempuan lain tetapi mangsa telah berjaya melepaskan dirinya daripada pegangan lelaki itu.

ARTIKEL YANG SAMA