Kes demam denggi meningkat di kawasan Sibu

Kes demam denggi meningkat di kawasan Sibu

SIBU, 21 Jun (Bernama) – Sebanyak 56 kes demam denggi dicatatkan dalam kawasan Majlis Perbandaran Sibu pada minggu ke-24 tahun ini berbanding hanya 12 kes pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Wabak Denggi Peringkat Bahagian Sibu Hii Chang Kee berkata, peningkatan yang tinggi itu akan berlarutan sekiranya masyarakat tiada inisiatif untuk mengambil langkah-langkah pencegahan pembiakan nyamuk Aedes.

Menurut beliau, pada minggu ke-22 dan ke-23 masing-masing terdapat 38 kes dan 49 ke berbanding 14 dan 19 kes pada tempoh yang sama pada tahun lepas.

Hii yang juga Residen bahagian Sibu dalam satu kenyataan di sini turut memberitahu, sehingga 18 Jun kawasan pentadbiran Majlis Daerah Luar Bandar Sibu mencatatkan sebanyak 44 kes manakala sebanyak 21 kes dicatatkan di daerah Kanowit.

Masing-masing mencatatkan seba-nyak 31 dan 12 kes dalam tempoh yang sama pada 2015.

Jawatankuasa tersebut berharap masyarakat mengambil berat dan mempunyai inisiatif sendiri untuk memastikan kawasan masing-masing bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes.