Kes dera kanak-kanak turut dipantau polis

Kes dera kanak-kanak turut dipantau polis

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 6 Julai – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, mengesahkan menerima beberapa laporan polis mengenai kes dera membabitkan kanak-kanak di negeri ini yang kini menjadi kes polis seperti yang dilaporkan dalam akhbar tempatan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah berkata, kes dera kanak-kanak tidak sepatutnya berlaku dan mereka harus diberi perlindungan sewajarnya.

Beliau yang enggan mendedahkan jumlah kes terbabit menambah pihaknya tidak bertindak sendirian dalam usaha menangani kes penderaan kanak-kanak malah menjalinkan kerjasama dengan beberapa jabatan lain termasuk dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita akan bekerjasama dan berhubung dengan pihak polis terutama ketika menerima laporan daripada hospital sekiranya terdapat tanda-tanda keganasan ke atas badan mangsa dan mensyaki berlakunya kes dera,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sejambak kasih Hari Raya Aidilfitri 2015 di Masjid Daerah di sini, semalam.

Turut sama ialah ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, wakil Pengarah JKM Negeri Mordiah Sulaiman, Pegawai Daerah Limbang Hamdiah Bakir dan Pemanca Alie Jahar.

TIDAK DILUPAKAN...Fatimah (3 kiri) menyerahkan bantuan kepada salah seorang warga emas Anggis Japar, 70, disaksikan Mordiah (2 kiri), Dr Rahman dan Paulus.
TIDAK DILUPAKAN…Fatimah (3 kiri) menyerahkan bantuan kepada salah seorang warga emas Anggis Japar, 70, disaksikan Mordiah (2 kiri), Dr Rahman dan Paulus.

Fatimah berkata lagi JKM akan mendapatkan perintah mahkamah untuk mendapatkan penjagaan dan pemeliharaan sementara terhadap kanak-kanak mangsa dera sehingga kes terbabit selesai.

“Jika keadaan mangsa teruk, mereka akan ditempatkan di hospital sehingga keadaan pulih dan dibenarkan keluar hospital,” ujarnya lagi.

Katanya kanak-kanak mangsa dera perlu diberi perlindungan disebabkan umur dan keadaan fizikal mereka yang masih kecil selain tidak berdaya upaya mempertahankan diri.

Kes dera membabitkan kanak-kanak jelasnya kebanyakannya disebabkan faktor kewangan, penagihan dadah dan pengaruh alkohol.

Sementara itu beliau mahu orang ramai agar berhati-hati terhadap individu tidak bertanggungjawab menyamar sebagai pegawai JKM untuk mengutip wang.

“Kes menipu adalah satu jenayah, dan laporan polis akan dilakukan terhadap individu terbabit. JKM adalah agensi kerajaan yang membantu rakyat dan bukannya mengutip duit daripada orang ramai.

“Mereka yang waswas mengenai kehadiran individu mencurigakan perlu berhubung dengan pihak kita,” jelasnya lagi.