Kes dera pembantu rumah 30 Mac ini

Kes dera pembantu rumah 30 Mac ini

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Seorang wanita warga tempatan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, semalam, atas enam pertuduhan menyebabkan kecederaan dan kecederaan parah ke atas seorang pembantu rumah warga Indonesia dan juga mengeksploitasinya melalui perhambaan dengan cara kekerasan pada 2011 dan 2012.

Siti Atiqah binti Mohd Raduan, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Yoyoh binti Idris ATA, 44, dengan mencubit payudara kirinya berulang kali sehingga puting kirinya mengalami kecacatan kekal.

Bagi pertuduhan kedua, Siti Atiqah didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah pada pembantu rumah itu dengan memukul tangannya berulang kali dengan tali pinggang, dan menyebabkan jari di tangan kirinya kekal bengkok.

pg07_160201_mahkamah logo

Untuk kedua-dua tuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 325 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga 10 tahun dan juga sebatan.

Tertuduh, untuk pertuduhan ketiga, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa dengan memukulnya berulang kali pada bahu kanan dan kiri menggunakan batu alu di mana senjata yang digunakan itu boleh menyebabkan kematian.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan penjara yang boleh dilanjutkan sehingga 15 tahun dan juga sebatan.

Untuk tuduhan keempat, dia juga berdepan dakwaan sengaja menyebabkan kecederaan dengan memukul mangsa pada bahu kanan dan kiri menggunakan batu alu pada tengah malam 10 September 2012.

Untuk pertuduhan kelima, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan pada mangsa dengan memukul badannya berulang kali dengan batu alu pada pagi 11 September 2012.

Pertuduhan keempat dan kelima membawa hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga tujuh tahun dan juga sebatan di bawah Seksyen 324 Kanun Hukuman Jenayah, Bab 22.

Tertuduh, untuk pertuduhan keenam didakwa merekrut mangsa untuk tujuan eksploitasi melalui perhambaan dengan cara menggunakan kekerasan, dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Orang, 2004 yang membawa denda tidak melebihi $1,000,000, penjara untuk tempoh tidak kurang daripada empat tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan.

Kesemua kesalahan itu didakwa berlaku di Perumahan Polis Kawalan Diraja, Jalan Istana Darul Hana, antara Mac 2011 dan 11 September 2012.

Kes akan disebut semula pada 30 Mac.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati binti Omar.

ARTIKEL YANG SAMA