Kes doping Sakho digugurkan

Kes doping Sakho digugurkan

PARIS, 10 Julai – Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) semalam menggugurkan kes doping ke atas pertahanan Liverpool dan Perancis, Mamadou Sakho yang kini boleh meneruskan kariernya.

Namun ia sudah terlambat buat Sakho, pemain yang dikatakan berpotensi mengisi kesebelasan utama Perancis di Euro 2016, untuk bersama pasukan kebangsaannya yang akan beraksi dalam final menentang Portugal awal pagi Isnin ini.

Sakho, yang berpindah ke Anfield pada tahun 2013 dengan yuran sejumlah 18 juta pound, mengumpul 28 kap bersama Perancis dan kes berkenaan hampir memusnahkan kariernya.

“Selepas perbicaraan dengan peguam-peguam pemain dan pakar-pakar dari WADA – makmal yang dilantik untuk kes ini – CEDB memutuskan untuk menggugurkan kes ini,” kata UEFA merujuk kepada Badan Kawalan, Etika dan Disiplin (CEDB) organisasi berkenaan.

Sakho, 26, terpaksa digugurkan daripada skuad Perancis menjelang Euro 2016 apabila didapati positif dalam ujian doping selepas perlawanan Liga Europa menentang Manchester City Mac lalu.

Namun bek tengah itu dikatakan tidak mengetahui produk mengurangkan lemak badan yang diambilnya mengandungi bahan terlarang.

“Saya gembira ia sudah berakhir,” kata Sakho. “Saya mengharungi tempoh yang sukar tetapi saya tahu yang saya tidak melakukan kesalahan.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA