Kes guna duit palsu dirujuk pada JAPEM

Kes guna duit palsu dirujuk pada JAPEM

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160330_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Mahkamah Perantaraan memerintahkan seorang lelaki tempatan yang berdepan dakwaan menggunakan wang palsu $500 pada 2005 supaya dirujuk pada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Hakim Haji Abdullah Soefri bin Pehin Dato Haji Abidin mahu Mohd Yaakub bin Taib, 52, dirujuk bagi ‘laporan hukuman awal’ di mana hukuman ini akan membantu mahkamah menentukan hukuman paling sesuai untuk tertuduh.

Tertuduh sebelum ini pernah disabit bagi kesalahan di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 460, masing-masing 37 dan 28 tahun yang lalu.

Peguam Bela, Yusuf Halim yang mewakili tertuduh dalam hujahannya, hari ini, mahu mahkamah tidak mempertimbangkan kesalahan lampau tertuduh kerana faktor usia.

Dalam hujahannya, dia mencadangkan mahkamah untuk menjatuhi perintah percubaan ke atas tertuduh ekoran kes itu lambat dihadapkan iaitu selepas lapan tahun.

Peguam Bela Yusuf Halim meskipun mengetahui apa yang dilakukan tertuduh adalah kesalahan serius, telah meminta mahkamah untuk melihat dari segi jumlah wang palsu yang membabitkan ‘jumlah yang tidak besar’, tambahan lagi tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah dengan bersetuju pada fakta-fakta yang dibacakan.

Timbalan Pendakwa Raya Farhanan binti Pehin Dato Haji Suhaili memaklumkan mahkamah kelewatan kes adalah disebabkan ia diserahkan daripada seorang pendakwa raya kepada yang lain.

Hakim menetapkan 21 April untuk sebutan semula dan melanjutkan ikat jamin tertuduh.

Terdahulu, tertuduh didapati bersalah menyerahkan wang palsu berjumlah $500 ketika membeli minyak di Stesen Minyak Roxana, Seria pada 19 Mac 2005.

ARTIKEL YANG SAMA