Kes jenayah di Daerah Tutong menurun

Kes jenayah di Daerah Tutong menurun

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 23 Okt – Berdasarkan statistik perbandingan kes jenayah di bawah jagaan Daerah Polis Tutong, kes jenayah di Daerah Tutong telah menunjukkan jumlah penurunan kes iaitu pada tahun 2015 sehingga September 2015 ini, sebanyak 350 kes jenayah telah dilaporkan berbanding kepada 430 kes yang dilaporkan sehingga September 2014.

Daripada pecahan keseluruhan kes tersebut, kes jenayah harta benda yang melibatkan kes pecah rumah dan curi menunjukkan jumlah penurunan iaitu hanya 97 kes dilaporkan setakat September 2015 pada tahun ini berbanding pada tahun 2014, sebanyak 113 dilaporkan sehingga September 2014.

Salah satu faktor penurunan kes kadar jenayah harta benda di Daerah Tutong ini adalah disebabkan oleh penglibatan penduduk kampung dalam pengawasan kejiranan bagi menjaga keamanan dan kesejahteraan di kampung masing-masing, dan juga kesedaran masyarakat terhadap menjaga harta benda mereka.

Perkara tersebut telah dinyatakan oleh Pegawai Penguasa Balai, Inspektor Kanan Samsulnahar bin Haji Idris semasa menyampaikan taklimat mengenai Perkembangan dan Progres Pengawasan Kejiranan Daerah Tutong di Majlis Perjumpaan Kedua bagi Tahun 2015 dengan penghulu-penghulu mukim Daerah Tutong di Bilik Mesyuarat Johan Perlawan, Jabatan Daerah Tutong, baru-baru ini.

Menurut Pegawai Penguasa Balai, Inspektor Kanan Samsulnahar lagi, sebanyak 27 buah kampung dengan seramai 530 orang yang berdaftar menjadi ahli Pengawasan Kejiranan bagi daerah tersebut.

Gambar ramai Mereka yang terlibat dalam mesyuarat Pengawasan Kejiranan Daerah Tutong.
Gambar ramai Mereka yang terlibat dalam mesyuarat Pengawasan Kejiranan Daerah Tutong.

Sejak pengaktifan semula pengawasan kejiranan itu, beberapa aktiviti telah pun dapat diungkayahkan bersama seperti operasi pencegahan jenayah di kampung-kampung, kunjungan ke institusi kerajaan, aktiviti sukan dan aktiviti keugamaan selain penyaluran maklumat-maklumat kepada pihak polis sehingga berjaya tertangkapnya si penjenayah, jelas Inspektor Kanan Samsulnahar lagi.

Daerah Polis Tutong telah mengadakan perjumpaan kali kedua bagi tahun 2015 dengan penghulu-penghulu mukim Daerah Tutong baru-baru ini dan merupakan pengerusi Pengawasan Kejiranan dalam sama-sama berkongsi perkembangan terbaharu Pengawasan Kejiranan Daerah Tutong yang dipengerusikan oleh Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Penguasa Polis Haji Chipli bin Haji Mohamad.

Terdahulu, Majlis dimulakan dengan penyampaian taklimat mengenai Sistem Koban di Jepun dan Sistem Kejiranan di Singapura yang disampaikan oleh Penolong Penguasa Polis Pengiran Mohd Saiful Ariff bin Pengiran Haji Duraman. Beliau menerangkan konsep atau sistem yang diguna pakai di kedua-dua buah negara tersebut mempunyai persamaan dengan konsep pengawasan kejiranan yang ada di Brunei Darussalam dengan objektif yang sama iaitu mengurangkan kadar jenayah.

Semasa majlis perjumpaan itu, Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Penguasa Polis Haji Chipli selaku pengerusi menekankan kepada penghulu-penghulu bahawa pembanterasan jenayah bukan hanya terletak kepada Pasukan Polis Diraja Brunei malah ianya adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan masyarakat.

Turut hadir ke perjumpaan tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Muhd Taha bin Abdul Rauf selaku Penghulu Mukim Keriam dan Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit selaku Penghulu Mukim Telisai.

Perlaksanaan Pengawasan Kejiranan oleh Polis Diraja Brunei (PBD) adalah satu usaha yang amat baik dan konsep ini merupakan metodologi terbaru bagi menggantikan kepolisian konvensional dengan melibatkan masyarakat sendiri bagi menyedarkan mereka bahawa membanteras jenayah bukan saja terletak di bahu pihak polis semata-mata malah masyarakat juga harus memainkan peranan yang sama.

Pengawasan Kejiranan Kampung adalah sebagai satu langkah ‘Community Policing’ yang membolehkan masyarakat kampung mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman masing-masing dengan falsafah bahawa kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara.

Pengawasan Kejiranan Kampung diperluaskan dengan pendekatan pembangunan masyarakat bagi memastikan perpaduan dan keharmonian hubungan di dalam masyarakat akan terus berkekalan dan berterusan dengan tujuan untuk membolehkan penduduk setempat bantu-membantu dalam menghadapi masalah sosial, di samping merapatkan hubungan dengan warga PDB.

ARTIKEL YANG SAMA