Kes jenayah di Temburong menurun

Kes jenayah di Temburong menurun

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Laporan indeks kes jenayah di Daerah Temburong bagi suku kedua tahun 2016 telah menunjukkan penurunan.

Ini melibatkan laporan kes curi yang menurun sebanyak 11 kes, dengan 18 laporan diterima pada suku kedua 2016 berbanding 29 kes dilaporkan pada suku pertama 2016 yang lalu.

Manakala itu, laporan jenayah rosak barang yang diterima pada suku kedua 2016 masih sama seperti suku pertama 2016 dengan masing-masing dua kes dilaporkan, dan tiada laporan kes curi kereta diterima pada suku kedua 2016 berbanding satu kejadian dilaporkan pada suku pertama dahulu.

Tiada kejadian kes pecah kereta dan curi serta jenayah mendatangkan cedera parah juga dilaporkan dalam suku pertama dan kedua 2016.

Dalam pada itu, statistik kes kemalangan di Daerah Polis Temburong juga menurun sebanyak tiga kes, iaitu tujuh kes direkodkan berlaku pada suku kedua 2016 berbanding 10 kes dilaporkan pada suku pertama 2016.

Pemangku Pegawai Daerah Temburong serta para jemputan yang hadir semasa perjumpaan tersebut.
Pemangku Pegawai Daerah Temburong serta para jemputan yang hadir semasa perjumpaan tersebut.

Perangkaan kes jenayah dan lalu lintas sepanjang suku tahun kedua 2016 ini telah dikongsikan dalam taklimat semasa perjumpaan suku kedua bagi tahun 2016 pegawai pemerintah Daerah Polis Temburong dan pegawai penguasa Balai Polis Temburong bersama pegawai Daerah Temburong, penasihat-penasihat pengawasan kejiranan (PK) yang terdiri daripada para penghulu mukim serta pengerusi-pengerusi PK dan ketua-ketua kampung di daerah tersebut, yang berlangsung di Dewan Serba Guna Bumiputera, Kompleks Bumiputera Pekan Bangar, Temburong, baru-baru ini.

Perjumpaan telah dimulakan dengan ucapan daripada wakil Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong,
iaitu Pegawai Penguasa Balai Polis Temburong, ASP Pengiran Anak Azanuddin Aman Shah bin Pengiran Anak Ismail Al-Haj, yang mengalu-alukan kehadiran Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud, para penasihat dan pengerusi PK di daerah berkenaan.

Turut hadir atas jemputan ialah beberapa orang ketua cawangan serta pegawai-pegawai dari Bahagian Institusi Mukim dan Kampung, Pejabat Daerah Temburong.

Di samping taklimat mengenai perangkaan kes jenayah dan lalulintas sepanjang suku tahun kedua 2016, perjumpaan turut membentangkan laporan perkembangan keahlian PK dan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh PK bersama Pasukan Polis Diraja Brunei melalui Balai Polis Temburong, menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Perjumpaan tersebut juga memberi kesempatan dalam berkongsi pandangan, memberi penerangan dan menjelaskan perkara-perkara yang dipersoalkan oleh para penasihat dan pengerusi PK.

Pada masa yang sama, penasihat-penasihat dan pengerusi PK disarankan untuk mengongsi perancangan dan langkah-langkah ke hadapan yang diambil oleh PK masing-masing bersama pihak Balai Polis Temburong khususnya dan Pasukan Polis Diraja Brunei secara amnya.

Daripada perkongsian tersebut, pihak polis akan dapat sama-sama membantu dan memandu mana-mana perancangan dan langkah-langkah ke hadapan PK masing-masing dengan lebih terarah dan munasabah untuk dipraktikkan mengikut keupayaan antara pihak polis dan PK di Daerah Temburong.