Kes kebakaran ditangguhkan

Kes kebakaran ditangguhkan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151009_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Okt – Kes seorang lelaki tempatan yang dipercayai sengaja memulakan kebakaran sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Pancha Delima 2, pada pagi 23 September lalu ditangguhkan oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain menangguhkan sebutan sehingga 26 Oktober berikutan dengan kematian Remia bin Haji Raub (tertuduh), 32 tahun, pada 28 September ketika dalam tahanan polis di lokap Balai Polis Pusat, di sini.

Si mati (tertuduh) sebelum ini didakwa menyebabkan kebakaran dengan menyalakan api ke atas tilam menggunakan pemetik api di rumah tersebut, dan membawa kepada kematian kanak-kanak malang itu.

Rumah tersebut disewa oleh pekerja-pekerja warga asing, dan kanak-kanak yang terkorban itu merupakan anak kepada salah seorang penyewa di situ.

Si mati dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 25 September namun tiada pengakuan direkodkan.

Peguam Bela Roy Prabhakaran yang mewakili si mati dalam sebutan memberitahu mahkamah bahawa ahli keluarga si mati ingin mendapatkan jawapan bagi punca dan penyebab kematiannya.

Punca kematian hanya akan diketahui sebaik mahkamah menerima hasil bedah siasat dan sijil kematian, kata Majistret Kanan.

Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Nurul binti Pengiran Rosli akan menarik balik dakwaan ke atas si mati sebaik menerima hasil bedah siasat dan sijil kematian dalam sebutan akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA