Kes kecurian menular

Kes kecurian menular

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 27 Nov – Akibat terdesak untuk mendapatkan wang, tiga lelaki warganegara jiran sanggup memotong 10 batang kayu jenis belian yang dijadikan tiang elektrik di kawasan Kampung Limpaku Pinang yang terletak di muara Sungai Limbang dalam kejadian berlaku awal November ini.

Kejadian itu disedari empat orang kakitangan Syarikat Sesco ketika membuat pemeriksaan di kawasan kampung Belantak berhampiran Limpaku Pinang sekitar jam 5:30 petang pada hari yang sama.

Kesemua kayu belian itu dianggarkan bernilai RM80,000 yang digunakan bagi projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang bermula 2014 di kampung berkenaan dan satu laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata hasil siasatan anggotanya berjaya menahan seorang nelayan, 24, dari Kampung Seberang Kedai dekat sini kelmarin. Suspek katanya mengaku ada membeli tujuh batang kayu belian daripada tiga lelaki warganegara jiran ketika dalam perjalanan pulang menangkap udang di laut berdekatan Sundar Lawas.

“Suspek mendakwa tujuh batang kayu itu dijual dengan harga RM300,” katanya di sini semalam. Suspek tambahnya juga mendakwa kayu belian itu dihantar ke rumahnya menggunakan sampan jenis Yamaha 80 kuasa kuda.

Sementara dalam kes berasingan Mohd Bukhori berkata seorang peniaga mengalami kerugian RM24,000 selepas 900 pintu kedai jenis aluminium dikebas pencuri di kawasan pembinaan kedai baharu Jalan Bandar Baru Limbang baru-baru ini, kejadian itu disedari mangsa, 49, sekitar jam 9 pagi.

Kedua-dua kes tersebut katanya akan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.