Kes kematian kanak-kanak 3 tahun disebut 6 September

Kes kematian kanak-kanak 3 tahun disebut 6 September

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160902_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menetapkan 6 September untuk sebutan semula kes seorang lelaki tempatan yang didakwa menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, yang juga anak saudaranya.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurjauinah binti Haji Kula supaya kes ditangguhkan selama lima hari lagi bagi membolehkan pihak polis mendapatkan keterangan lanjut daripada tertuduh yang namanya tidak dapat didedahkan itu.

Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan mahkamah bahawa kemungkinan lelaki berusia 29 tahun itu mempunyai mangsa lain.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian terhadap mangsa pada 17 Ogos 2016 kira-kira jam 8:30 pagi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan membunuh tanpa niat di bawah Seksyen 304 (2) (Penggal 22) yang memperuntukkan penjara yang boleh dilanjutkan sehingga 15 tahun, atau denda atau kedua-duanya.