Kes Lahad Datu 25 Jun

Kes Lahad Datu 25 Jun

KOTA KINABALU, 10 Jun – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 25 Jun ini untuk keputusan kes pencerobohan di Lahad Datu. Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar yang mengendalikan pendakwaan kes itu berkata pada mulanya ia ditetapkan pada 20 Jun selepas hujahan kedua-dua pihak yang ditetapkan hari ini.

“Tetapi mahkamah baru sahaja memaklumkan kepada kami, hakim tidak dapat mendengar kes (hari ini) dan menangguhkan hujahan kes (ke 20 Jun).

“Penangguhan ini juga bermakna keputusan kes ditangguhkan ke tarikh lain,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, peguam yang mewakili 16 tertuduh warganegara Filipina dalam kes itu, Datuk N. Sivananthan berkata mahkamah mungkin memerlukan dua hari untuk keputusan kes itu bergantung kepada jumlah tertuduh yang terlibat.

Kes itu didengar di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah sejak 6 Januari 2014 membabitkan 30 individu – 27 warganegara Filipina dan tiga lelaki tempatan – terhadap pelbagai pertuduhan berkaitan pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013. –Bernama