Kes laku seks bawah umur disebut semula 9 Jun

Kes laku seks bawah umur disebut semula 9 Jun

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan hubungan seks dengan remaja perempuan bawah umur.

Mohamad Fuadariffin bin Zainuddin, 27, berdepan tuduhan melakukan kesalahan itu ke atas mangsa yang berusia 13 tahun di sebuah rumah di Daerah Tutong.

Dia melakukan kesalahan itu antara bulan April dan Julai 2015, dan didakwa di bawah Seksyen 2 Akta Persetubuhan Yang Menyalahi Undang-Undang, Penggal 29.

Kesalahan itu memperuntukkan pemenjaraan untuk tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi dari tujuh tahun, dan sebatan tidak melebihi dari 24 sebat dalam kes pesalah dewasa atau 12 sebat untuk pesalah muda.

pg06_160427_mahkamah logo2

Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah memaklumkan mahkamah, mangsa pada mulanya mengadu sakit perut dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan di mana doktor yang membuat pemeriksaan mendapati terdapat kesan koyak pada bahagian alat sulit mangsa.

Laporan kemudian dibuat ke balai polis di mana tertuduh didapati merupakan rakan kepada keluarga mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya juga memohon kes untuk ditangguhkan sementara menunggu laporan perubatan dan psikologi mangsa.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menetapkan 9 Jun untuk kes disebut semula, dan membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin $5,000 atau seorang penjamin tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA