Kes pecah amanah dilanjutkan 25 Feb

Kes pecah amanah dilanjutkan 25 Feb

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Seorang Penolong Tingkat 2 di Lembaga Bandaran yang berdepan melakukan pecah amanah dijatuhi tiga bulan penjara oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini.

Hakim Haji Abdullah Soefri bin Pehin Dato Haji Abidin menjatuhkan hukuman itu ke atas Nor Ahmad bin Karna, 47, yang mengaku bersalah atas dakwaan melakukan pecah amanah bagi $1,037.40 yang dikutip daripada pembayaran kupon letak kereta pada 6 Oktober 2011 dan membuat laporan palsu kepada pihak polis.

Tertuduh, bagaimanapun, tidak berpuas hati dengan hukuman itu, yang terdahulu hanya ingin dijatuhi denda sahaja.

Hakim memberi tempoh sebulan untuk tertuduh membuat rayuannya dan menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

pg01_160127_mahkamah logo

Hakim juga melanjutkan ikat jamin tertuduh dan menetapkan 25 Februari untuk sebutan semula.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh menerima wang $1,037.40 daripada penolong bandaran dan membawanya pulang ke rumahnya di Kampung Mulaut.

Dia kemudian pergi ke Bank Baiduri di Supasave Beribi dan menghubungi talian hotline polis 993 dan memberitahu polis bahawa dia telah dirompak oleh dua orang lelaki yang bersenjatakan pisau ketika berada di tempat letak kereta.

Apabila polis tiba, mereka melihat tertuduh dalam keadaan mencurigakan, dan selepas menyoalnya, dia mengaku menghadapi masalah kewangan dan telah menyimpan wang kutipan itu di rumahnya, dan turut mengaku laporan rompakan yang dibuatnya itu tidak benar. Polis kemudian menemui semula kesemua wang kutipan itu.

ARTIKEL YANG SAMA