Kes penyakit berkaitan jerebu meningkat di 4 daerah di Sabah

Kes penyakit berkaitan jerebu meningkat di 4 daerah di Sabah

KOTA KINABALU, 7 April (Bernama) – Kes penyakit berkaitan jerebu di empat daerah terjejas –Beaufort, Kuala Penyu, Papar dan Sipitang meningkat, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi.

Beliau berkata peningkatan itu berdasarkan hasil pemantauan penyakit berkaitan jerebu yang dilakukan jabatan berkenaan di semua daerah terbabit.

Katanya Beaufort merekodkan peningkatan penyakit konjunktivitis (mata merah), selesema dan asma dengan 310 kes dicatatkan bagi tempoh tiga hari dalam minggu ini, berbanding 346 kes sepanjang minggu lepas.

Di Kuala Penyu, sebanyak 61 kes sama dilaporkan tiga hari dalam minggu ini berbanding empat sepanjang minggu lepas.

“Data bagi daerah Sipitang dan Papar baru dilaporkan pada minggu ini tetapi menunjukkan bilangan pesakit yang tinggi terutama untuk penyakit pernafasan dan respirator,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Christina berkata berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) direkodkan Jabatan Alam Sekitar dari 2 hingga 4 April bagi Beaufort menunjukkan kualiti udara tidak sihat dan sangat tidak sihat, selain daerah itu pernah mencatat satu bacaan IPU merbahaya iaitu 301 pada 4 April.

“Namun, bacaan IPU bertambah baik semalam, pada status sederhana,” katanya.

Beliau, bagaimanapun berkata pihaknya akan terus membuat pemantauan penyakit berkaitan jerebu dari semasa ke semasa.

Dr Christina juga mengingatkan orang awam agar mengelak daripada terdedah kepada jerebu dengan mengurangkan aktiviti luar dan mengambil langkah lain untuk menjaga kesihatan.

Individu mengalami penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung dan paru-paru kronik juga disaran segera ke klinik jika keadaan bertambah teruk, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA