Kes rasuah Petrobras, bekas ketua staf Lula pula ditahan

Kes rasuah Petrobras, bekas ketua staf Lula pula ditahan

BRASILIA, 4 Ogos (AFP) – Polis Brazil semalam memberkas pembantu tertinggi bekas presiden Luiz Inacio Lula da Silva dalam siasatan lebih meluas ke atas skandal rasuah syarikat minyak milik negara, Petrobras, yang menjejaskan politik dan perniagaan negara tersebut.

Pendakwa raya Carlos Fernando dos Santos Lima memberitahu para wartawan bahawa Jose Dirceu – ketau staf Lula di antara 2003 dan 2005 – adalah “ketua perunding” dalam skim rasuah besar-besaran, yang dianggarkan jumlah keseluruhannya mencecah sekurang-kurangnya AS$2 bilion.

Dirceu diberkas di rumahnya, di mana beliau sudah pun menjalani hukuman tahanan dalam rumah selama tujuh tahun kerana peranannya dalam kes rasuah politik berasingan.

Pegawai-pegawai mendakwa beberapa eksekutif kanan Petrobras bersekongkol dengan firma pembinaan untuk meningkatkan kos kontrak dan sekali gus memberi rasuah kepada anggota politik.

Para pendakwa raya berkata Dirceu menggelapkan kira-kira 39 juta reais (AS$11.7 juta) yang diterima daripada beberapa firma dan membayar kepada firma miliknya JD Consulting sebagai imbalan bagi perkhidmatan yang tidak pernah ditunaikan.

Dos Santos berkata Dirceu bukan sahaja penerima pembayaran tetapi merupakan salah seorang “pencipta” skim – semuanya ketika beliau berkhidmat sebagai ketua staf Lula.

Kes tersebut semakin melemahkan lagi kerajaan Presiden Dilma Rousseff, yang tidak dibabitkan secara langsung dengan kes berkenaan, tetapi adalah pengerusi Petrobras selama tujuh tahun berbetulan dengan tempoh kes rasuah berkenaan.

Bekas bendahari Parti Pekerja pimpinannya, Joao Vaccari, diberkas pada April atas dakwaan beliau menyalurkan wang rasuah yang diraih daripada kontrak palsu Petrobras.