Kes Repco Low diputuskan 29 Feb

Kes Repco Low diputuskan 29 Feb

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Mahkamah Sesyen di sini kelmarin menetapkan 29 Februari ini untuk menjatuhkan hukuman ke atas Repco Low atau Low Thiam Hock, yang dapati bersalah memanipulasi harga saham Repco Holdings Berhad.

Hakim Mat Ghani Abdullah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya Roz Mawar Rozain dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Low.

Terdahulu, dalam rayuan supaya hukuman anak guamnya diringankan, Muhammad Shafee berkata mahkamah perlu menjatuhi hukuman yang sepadan dengan kesalahan yang dilakukan.

“Kesalahannya hanya melibatkan satu akaun bagi pembelian saham sebuah syarikat (Repco Holdings Berhad) dalam sehari iaitu pada 3 Dis 1997. Tidak lebih daripada itu,” katanya.

Beliau berkata perbuatan memanipulasi saham akan mengambil masa beberapa hari, malah, kadangkala, beberapa bulan.

“Di sini, kesalahan yang dilakukan dikatakan hanya melibatkan masa sehari,” katanya.

Muhammad Shafee juga berkata tiada siapa yang menderita kerana pembelian saham Repco pada 3 Dis 1997 itu dan tiada bukti menunjukkan ada orang yang menjadi mangsa akibat kesalahan itu atau mereka yang dikelirukan.

“Tuduhan yang tergantung selama 17 tahun melibatkan suatu tempoh yang lama dan ini juga merupakan faktor dalam permohonan agar hukuman diringankan,” katanya.

Sementara itu, Roz Mawar menggesa suatu hukuman bersifat pencegahan dan penjara antara lima hingga lapan tahun dikenakan bagi kepentingan awam dan berikutan kesannya terhadap keyakinan orang ramai.

“Perbuatan memanipulasi pasaran adalah suatu kesalahan serius,” katanya.

Pada 11 Jan, mahkamah itu mendapati Low bersalah setelah pihak pembela gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwa.

Pada 1999, Low dituduh mengarahkan seorang wakil Sime Securities Sdn Bhd membeli saham Repco Holdings dengan menerima sebarang harga yang ditawarkan bagi saham itu di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Perbuatan itu dikatakan menimbulkan kekeliruan tentang harga saham berkenaan di BSKL.

Low, dari Kota Kinabalu, Sabah, dituduh melakukan kesalahan itu di Sime Securities, Aras 21, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, antara 11 pagi dan 5 petang 3 Dis 1997. – Bernama