Kes tanam mayat: Tertuduh diperintah bayar ganti rugi

Kes tanam mayat: Tertuduh diperintah bayar ganti rugi

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memutuskan untuk seorang lelaki tempatan yang menghadapi pertuduhan menanam mayat seorang wanita di bawah konkrit di kawasan rumah pada 2013 untuk tidak dikenakan tempoh penjara tambahan sebaliknya diperintahkan untuk membayar ganti rugi.

Haji Harith bin Haji Bakir, 49, juga didakwa gagal untuk membuat laporan kematian mengejut Voon Su Ching, 40, yang mana mayatnya ditemui tertanam di kawasan sebuah rumah di Kampung Salambigar.

Tertuduh turut menghadapi pertuduhan menyalahgunakan harta simati selain berdepan dengan dakwaan menghalang anggota polis dari menjalankan siasatan atas kehilangan simati dengan menanam mayatnya di bawah batu-bata dan simen.

Hakim Dato Paduka Steven Chong memerintahkan tertuduh untuk membayar ganti rugi wang simati sebanyak $1,328 dalam tempoh seminggu atau berdepan sebulan penjara jika gagal membayar denda itu.

Hakim berpendapat bahawa menjatuhkan hukuman penjara tambahan ke atas tertuduh adalah tidak adil sebaliknya memerintahkan tertuduh membayar ganti rugi sahaja memandangkan tertuduh telah mengaku menggunakan wang yang diambilnya dari beg simati untuk membayar batu dan simen.

Hakim juga mengambil kira di mana tertuduh telah selesai menjalani hukuman penjara selama enam bulan dan denda $1,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda, tambahan lagi tertuduh telahpun dibebaskan pada Januari 2015.

Peguam Roy Prabhakaran turut memberitahu mahkamah bahawa tertuduh berada dalam keadaan yang tidak sihat dan perlu menerima rawatan untuk batuk kering, dan telahpun meneruskan kehidupannya selepas kehilangan kerja sebagai kaunselor sekolah.

Fakta kes menyebut, tertuduh dan simati mempunyai hubungan sulit dan pada masa kejadian, telah bertemu di sebuah rumah di Kampung Salambigar pada pagi 13 Februari 2013.

Selepas melakukan hubungan intim, mangsa mengalami kesukaran bernafas, jatuh ke lantai dan meninggal dunia.

Tertuduh menyembunyikan mayatnya dan membeli batu-bata dan simen untuk dituang ke dalam lubang di mana mayatnya ditanam.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aldila binti Salleh dan Mohammad Danial bin DSP Haji Kifrawi.

ARTIKEL YANG SAMA